sukan

Lumayan , Malaysia raih hampir 1 Juta dalam masa 1 hari

Kejayaan empat beregu Malaysia melangkah ke pentas final Terbuka Perancis 2026 menyaksikan wakil negara meraih hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM695,000 selepas mencatat satu kejuaraan dan tiga pencapaian naib juara.

Jumlah keseluruhan kira-kira RM694,704 itu diperoleh menerusi kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam kategori beregu lelaki, selain pencapaian naib juara oleh Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Pearly Tan-M. Thinaah dan Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing.

Wei Chong-Kai Wun menjadi penerima hadiah terbesar selepas membawa pulang kira-kira RM287,196 hasil kejayaan menjuarai kategori beregu lelaki pada perlawanan akhir di Arena Grand Paris, Perancis, semalam.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pembukaan untuk menewaskan rakan senegara, Sze Fei-Izzuddin 13-21, 21-15, 21-7 dalam tempoh 44 minit.

Kejayaan tersebut cukup bermakna apabila Wei Chong-Kai Wun berjaya menamatkan penantian selama 22 tahun Malaysia untuk kembali merangkul gelaran beregu lelaki Terbuka Perancis.

Kali terakhir kejuaraan berkenaan dimenangi pasangan negara ialah pada edisi 2004 menerusi gandingan Gan Teik Chai-Koo Kien Keat.

Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin yang turun sebagai pilihan keenam kejohanan terpaksa berpuas hati sebagai naib juara, sekali gus menerima hadiah wang tunai kira-kira RM135,836.

Pasangan ranking kelima dunia itu pada mulanya berada di landasan terbaik untuk menjulang trofi selepas memenangi set pertama 21-13, namun gagal mengekalkan kelebihan apabila Wei Chong-Kai Wun menguasai dua set berikutnya.

Dalam kategori beregu wanita pula, Pearly-Thinaah turut meraih RM135,836 selepas menamatkan saingan sebagai naib juara.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu gagal mengulangi kejayaan menjuarai Terbuka Perancis pada 2022 selepas tewas kepada gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.

Pearly-Thinaah memulakan perlawanan dengan kemenangan besar 21-10, namun pasangan Jepun berkenaan bangkit untuk memenangi dua set berikutnya 21-17, 21-16.

Kekalahan tersebut menyaksikan pasangan negara terlepas peluang merangkul gelaran ketiga musim ini selepas sebelum ini menjuarai Masters Indonesia dan Terbuka Denmark.

Satu lagi hadiah naib juara bernilai RM135,836 diraih pasangan beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing.

Mereka gagal menyaingi pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping sebelum tewas straight set 10-21, 13-21 dalam aksi final.

Keputusan berkenaan turut menyaksikan Pang Ron-Pei Jing terpaksa menangguhkan hasrat untuk merangkul kejuaraan pertama sejak membentuk gandingan pada Mei lalu.

Secara keseluruhan, tiga pencapaian naib juara itu menyumbang hadiah berjumlah kira-kira RM407,508, manakala kejayaan Wei Chong-Kai Wun menambah RM287,196.

Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan hadiah yang diraih empat finalis Malaysia mencecah hampir RM695,000.

Pencapaian satu kejuaraan dan tiga naib juara turut melengkapkan kempen memberangsangkan Malaysia pada Terbuka Perancis 2026, dengan wakil negara berjaya menempatkan diri dalam final tiga kategori beregu yang dipertandingkan.