Indonesia terpaksa pulang tanpa sebarang kejuaraan daripada Terbuka Perancis 2026 selepas harapan terakhir mereka, Mohammad Zaki Ubaidillah gagal menewaskan wakil tuan rumah, Christo Popov dalam final kategori perseorangan lelaki, malam ini.
Pemain muda berusia 19 tahun itu terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas 11-21, 21-14, 13-21 kepada Popov dalam pertarungan tiga set selama 60 minit di Arena Grand Paris, Perancis.
Kekalahan berkenaan sekali gus menutup peluang Indonesia untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan daripada lima kategori yang dipertandingkan dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 itu.
Ubaidillah yang berada di ranking ke-28 dunia merupakan satu-satunya wakil Indonesia berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas tiga lagi wakil negara tersebut tersingkir pada peringkat separuh akhir.
Dalam pertembungan final, Popov yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan tidak berdepan masalah besar pada set pembukaan apabila mencatat kemenangan 21-11.
Bagaimanapun, Ubaidillah enggan menyerah kalah apabila bangkit memberikan tentangan lebih berkesan pada set kedua untuk menewaskan pemain tuan rumah itu 21-14.
Kemenangan tersebut menghidupkan kembali peluang pemain Indonesia berkenaan untuk memburu gelaran Super 750 pertamanya, sekali gus memaksa perlawanan diteruskan ke set penentuan.
Namun, pengalaman Popov menjadi pemisah apabila pemain ranking ketiga dunia itu kembali menguasai permainan sebelum menamatkan set ketiga dengan kemenangan 21-13.
Kejayaan itu memastikan Popov muncul juara di hadapan penyokong sendiri, manakala Ubaidillah terpaksa melupakan hasrat menamatkan kempen Indonesia dengan sekurang-kurangnya satu gelaran.
Kekalahan tersebut menambah kekecewaan Indonesia yang sebelum ini menyaksikan dua wakil beregu lelaki mereka tumbang kepada pasangan Malaysia pada separuh akhir.
Raymond Indra-Nikolaus Joaquin terlebih dahulu disingkirkan Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas tewas straight set 16-21, 15-21 dalam tempoh 34 minit.
Nasib sama menimpa Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang gagal mengatasi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila tewas 20-22, 9-21 dalam masa 31 minit.
Dua kekalahan tersebut memadamkan impian Indonesia untuk menghasilkan final sesama wakil negara mereka dalam kategori beregu lelaki.
Sebaliknya, Malaysia berjaya menguasai kedua-dua tempat final menerusi Sze Fei-Izzuddin dan Wei Chong-Kai Wun, sekali gus menjamin gelaran kategori berkenaan menjadi milik negara.
Satu lagi wakil Indonesia, Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum turut tersingkir di separuh akhir beregu wanita selepas tewas 18-21, 15-21 kepada Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun.
Ubaidillah kemudian menjadi satu-satunya sandaran Indonesia selepas mencipta kejutan dengan menewaskan juara dunia dari Perancis, Alex Lanier 21-16, 16-21, 21-17 pada separuh akhir.
Bagaimanapun, kejayaan itu gagal diteruskan ketika berdepan Popov dalam perebutan kejuaraan.
Keputusan berkenaan menyaksikan Indonesia menamatkan kempen Terbuka Perancis 2026 tanpa sebarang gelaran meskipun mempunyai empat wakil pada peringkat separuh akhir kejohanan.