Gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto terus menjadi penghalang kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah selepas mencatat kemenangan kelima berturut-turut ke atas pasangan Malaysia itu dalam final Terbuka Perancis 2026, semalam.
Pearly-Thinaah yang berada di ranking keempat dunia gagal menamatkan rentetan kekalahan tersebut walaupun memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan apabila memenangi set pembukaan 21-10.
Bagaimanapun, pasangan pilihan utama kejohanan itu bangkit untuk mencatat kemenangan 21-17, 21-16 dalam dua set berikutnya, sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka pada edisi tahun lalu.
Kekalahan tersebut cukup mengecewakan buat Pearly-Thinaah yang hadir ke Perancis dengan momentum positif selepas menjuarai Terbuka Denmark minggu lalu.
Lebih menarik, sebelum rentetan lima kekalahan itu bermula, pasangan negara sebenarnya pernah mempunyai rekod pertemuan yang cukup baik ketika berdepan Fukushima-Matsumoto.
Kali terakhir Pearly-Thinaah menewaskan gandingan Jepun itu adalah pada separuh akhir Masters Jepun di Kumamoto pada 15 November 2025.
Dalam pertemuan tersebut, pasangan negara mencatat kemenangan straight set 24-22, 23-21 sebelum meneruskan kemaraan ke final kejohanan berstatus Super 500 berkenaan.
Namun, keadaan berubah selepas itu apabila Fukushima-Matsumoto berjaya memenangi empat pertemuan berikutnya sebelum menambah kemenangan kelima di Perancis.
Keputusan terbaru itu menyaksikan pasangan Jepun kini mendahului rekod pertemuan keseluruhan dengan enam kemenangan berbanding lima.
Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Thinaah mengakui pasangan lawan berjaya mengubah corak permainan selepas kedudukan terikat 7-7 pada awal set kedua.
Menurutnya, Fukushima-Matsumoto mula melancarkan lebih banyak serangan sehingga menyebabkan pasangan Malaysia kehilangan penguasaan yang dimiliki pada set pembukaan.
“Strategi itu membolehkan mereka mendahului kami dengan jurang mata yang agak selesa. Di penghujung set, kami cuba mengejar, tetapi saya rasa jurang mata pada awal permainan sudah terlalu jauh. Saya fikir kelebihan itu juga meningkatkan keyakinan mereka,” katanya kepada BWF.
Perubahan permainan itu membolehkan gandingan ranking ketiga dunia berkenaan mendahului 11-7 ketika rehat set kedua sebelum menamatkannya dengan kemenangan 21-17.
Fukushima-Matsumoto kemudian meneruskan penguasaan dalam set penentuan apabila mendahului 8-2 sebelum mengesahkan kemenangan 21-16.
Pearly pula mengakui kekuatan fizikal pasangan Jepun menjadi cabaran besar ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung.
“Kami tahu bukan mudah untuk menentang mereka hari ini. Jelas sekali, dari segi fizikal, mereka sangat kuat dan masih mampu bergerak pantas walaupun pada set ketiga,” katanya.
Kekalahan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah gagal merangkul kejuaraan Terbuka Perancis buat kali kedua selepas kejayaan bersejarah pada 2022.
Mereka turut terlepas peluang memenangi dua kejohanan Super 750 secara berturut-turut selepas muncul juara Terbuka Denmark pada 18 Oktober lalu.
Bagaimanapun, pencapaian sebagai naib juara tetap memberikan ganjaran AS$33,250 atau kira-kira RM135,836 kepada pasangan negara.
Bagi Fukushima-Matsumoto, kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah AS$70,300 atau sekitar RM287,196, selain meneruskan rekod positif ketika menentang Pearly-Thinaah.