sukan

TERKINI : Jumlah Wang hadiah Wei Chong-Kai Wun raih selepas muncul Juara Terbuka Perancis

Man Wei Chong-Tee Kai Wun kembali berada di landasan terbaik untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia selepas menjuarai Terbuka Perancis 2026, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan sejak Mei tahun lalu.

Pasangan yang pernah menduduki ranking keempat dunia itu kini berpeluang kembali menembusi kelompok 10 terbaik selepas merangkul gelaran Super 750 dengan menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam perlawanan akhir, malam tadi.

Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-11 dunia sebelum kejohanan mempamerkan kebangkitan meyakinkan untuk menang 13-21, 21-15, 21-7 dalam tempoh 44 minit di Arena Grand Paris.

Kejayaan itu memberikan ganjaran 11,000 mata ranking kejohanan, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk memperbaiki kedudukan dalam senarai ranking dunia BWF.

Lebih menarik, pasangan negara sebelum ini pernah mencapai ranking keempat dunia pada Disember 2025 sebelum kedudukan mereka merosot susulan perubahan gandingan dan tempoh tidak beraksi bersama selama kira-kira lima bulan.

Dalam tempoh tersebut, Wei Chong dan Kai Wun masing-masing beraksi bersama pasangan berbeza sebelum kembali bergandingan bagi menghadapi cabaran penghujung musim.

Kai Wun sebelum ini mengakui mereka perlu bekerja keras untuk kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selepas kehilangan mata berikutan ketiadaan dalam beberapa kejohanan.

Beliau turut meletakkan sasaran untuk kembali ke kelompok lapan terbaik sekiranya mereka mampu mengekalkan prestasi konsisten sepanjang baki musim ini.

Kejayaan di Perancis kini menjadi perkembangan penting dalam usaha tersebut, walaupun kedudukan ranking terkini masih menunggu pengesahan rasmi BWF.

Selain mata ranking, Wei Chong-Kai Wun turut meraih hadiah wang tunai AS$70,300 atau kira-kira RM287,200 hasil kejayaan menjulang trofi.

Sze Fei-Izzuddin yang turun selaku pilihan keenam kejohanan pula menerima AS$33,250 atau sekitar RM135,800 selepas berpuas hati di tempat kedua.

Dalam aksi final, Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking kelima dunia memulakan perlawanan dengan lebih meyakinkan apabila berjaya memenangi set pertama 21-13.

Namun, Wei Chong-Kai Wun bangkit untuk mengikat kedudukan menerusi kemenangan 21-15 pada set kedua sebelum menghasilkan persembahan dominan dalam set penentuan.

Sze Fei-Izzuddin hanya mampu mengutip tujuh mata pada set ketiga sebelum Wei Chong-Kai Wun mengesahkan kejuaraan pertama mereka musim ini.

Kemenangan tersebut turut menamatkan penantian Malaysia selama 22 tahun untuk kembali memiliki juara beregu lelaki Terbuka Perancis selepas kejayaan Gan Teik Chai-Koo Kien Keat pada 2004.

Lebih penting, pencapaian itu hadir ketika Wei Chong masih dalam proses mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik susulan masalah kecederaan lutut.

Meskipun menghadapi cabaran berkenaan, Wei Chong-Kai Wun berjaya membuktikan kemampuan untuk kembali bersaing di peringkat tertinggi.

Selepas kali terakhir menjulang kejuaraan Masters Malaysia pada Mei 2025, gelaran Terbuka Perancis kini menjadi pencapaian penting buat pasangan negara dalam usaha kembali mengukuhkan kedudukan dalam kelompok beregu lelaki terbaik dunia.