sukan

Komen Tanpa berselindung Wei Chong-Kai Wun selepas Muncul Juara Terbuka Perancis

Kejayaan menamatkan penantian hampir 17 bulan untuk kembali bergelar juara memberikan kelegaan besar kepada Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas pasangan beregu lelaki negara itu melalui tempoh mencabar akibat kecederaan dan perubahan gandingan.

Wei Chong yang sebelum ini berdepan masalah kecederaan lutut mengakui keadaan fizikalnya semakin pulih, sekali gus membantunya kembali memberikan persembahan lebih baik bersama Kai Wun.

Menurutnya, pasangan negara tidak meletakkan sasaran tinggi ketika memulakan kempen Terbuka Perancis 2026 kerana lebih mengutamakan usaha mendapatkan semula rentak permainan selepas kembali bergandingan.

Pendekatan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Wei Chong-Kai Wun berjaya menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk muncul juara kejohanan berstatus Super 750 itu.

Dalam aksi final di Arena Grand Paris, semalam, Wei Chong-Kai Wun bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 dalam tempoh 44 minit.

Wei Chong berkata, mereka tidak terlalu memikirkan keputusan perlawanan kerana sedar turun sebagai pasangan bukan pilihan ketika berdepan lawan yang lebih tinggi rankingnya.

“Kami tidak terlalu memikirkan soal menang atau kalah kerana kami sedar kami bukan pilihan. Kami hanya mahu bermain sebaik mungkin dan cuba mendapatkan setiap mata,” katanya dalam temu bual bersama BWF.

Kenyataan tersebut memperlihatkan pendekatan berbeza yang digunakan pasangan negara selepas sebelum ini berdepan kesukaran mengekalkan prestasi dalam beberapa kejohanan.

Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-11 dunia sebenarnya hadir ke Perancis selepas tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark minggu lalu.

Bagaimanapun, mereka berjaya mengubah keadaan apabila mempamerkan peningkatan sepanjang kempen di Paris sebelum menewaskan Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking kelima dunia.

Kai Wun berkata, tumpuan kepada setiap perlawanan menjadi antara perkara penting kerana mereka masih berusaha memperbaiki masalah konsistensi.

“Konsistensi kami masih belum begitu baik. Kami hanya memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan dan saya memberitahu pasangan saya supaya memberikan yang terbaik sehingga tamat. Itulah yang kami lakukan hari ini,” katanya.

Kejayaan tersebut menjadi gelaran pertama Wei Chong-Kai Wun sejak menjuarai Masters Malaysia pada Mei 2025.

Sepanjang tempoh selepas kejayaan itu, kedua-duanya melalui beberapa perubahan termasuk beraksi bersama pasangan berbeza sebelum kembali digandingkan pada Ogos tahun ini.

Wei Chong juga perlu mendapatkan semula kecergasan selepas masalah kecederaan lutut menjejaskan persiapannya.

Walaupun keadaan kecederaan tersebut semakin baik, beliau mengakui masih memerlukan masa untuk kembali pulih sepenuhnya.

Namun, kejayaan menjulang gelaran keenam Jelajah Dunia BWF bersama Kai Wun memberikan petanda positif terhadap kemampuan mereka kembali bersaing dengan pasangan terbaik dunia.

Malah, gelaran Terbuka Perancis merupakan kejayaan pertama mereka dalam kejohanan Super 750, sekali gus menjadi pencapaian penting sepanjang lebih lima tahun bergandingan.

Wei Chong berharap keserasian yang kembali dibina selepas tempoh berpisah dapat membantu mereka mengekalkan rentak permainan pada kejohanan akan datang.

“Kami sudah bergandingan selama lebih lima tahun. Sekarang kami kembali bersama dan saya fikir kami boleh mengekalkan rentak ini,” katanya.

Kemenangan itu turut mengakhiri penantian 22 tahun Malaysia untuk kembali memiliki juara beregu lelaki Terbuka Perancis selepas kali terakhir dicatatkan Gan Teik Chai-Koo Kien Keat pada 2004.

Wei Chong-Kai Wun kini berdepan cabaran untuk memastikan kejayaan di Perancis menjadi permulaan kepada prestasi lebih konsisten selepas melalui musim yang tidak menentu sebelum ini.