sukan

TERKINI : Pemain senior bakal digugurkan

KUALA LUMPUR: Kedudukan barisan perseorangan lelaki negara dijangka menjadi antara fokus utama apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan penstrukturan semula pemain dan jurulatih pada Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei mengesahkan badan induk itu akan melakukan penilaian menyeluruh terhadap skuad senior serta remaja sebelum menentukan siapa yang akan dikekalkan, digugurkan atau diserap masuk ke dalam program kebangsaan.

Penilaian itu akan dikendalikan oleh barisan kejurulatihan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Prestasi.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky akan mengemukakan senarai pemain berdasarkan perkembangan serta pencapaian sepanjang musim.

“Kita tidak boleh asyik menyimpan pemain tanpa melakukan pengguguran. Kita perlu menyusun semula senarai pemain dan melakukan sedikit penstrukturan.

“Jurulatih akan membuat penilaian semula dan menghantar senarai kepada saya untuk dibincangkan bersama Jawatankuasa Prestasi,” kata Chong Wei.

Bagi kategori perseorangan lelaki, prestasi Jun Hao dan Justin Hoh sudah pasti mendapat perhatian.

Jun Hao yang kini berada di ranking ke-31 dunia gagal mencatat kemaraan mendalam dalam kesemua 12 kejohanan Jelajah Dunia yang disertainya musim ini.

Dia terkandas sama ada pada pusingan pertama atau kedua dalam setiap kejohanan berkenaan.

Prestasi itu turut berlanjutan ke beberapa kejohanan besar.

Jun Hao gagal mara jauh dalam Kejohanan Badminton Asia, Kejohanan Dunia serta acara perseorangan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Justin pula berada di ranking ke-46 dunia dan turut bergelut mendapatkan konsistensi.

Bagaimanapun, pemain muda itu sekurang-kurangnya berjaya mencatat dua kemaraan ke suku akhir sepanjang musim, masing-masing di Terbuka Australia dan Terbuka Taiwan.

Keadaan tersebut menjadikan penghujung tahun sebagai tempoh penting buat kedua-dua pemain untuk memperlihatkan peningkatan.

Namun, penstrukturan BAM bukan hanya melibatkan pemain senior.

Chong Wei berkata badan induk itu turut mahu memperluaskan laluan kepada pemain muda berusia 12 dan 15 tahun yang menunjukkan potensi untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.

Bilangan pemain yang akan diserap masuk bergantung kepada penilaian bakat serta keperluan semasa setiap kategori.

Perkara itu juga mempunyai kaitan langsung dengan struktur kejurulatihan.

Menurut Chong Wei, BAM perlu memastikan nisbah jurulatih kepada pemain berada pada tahap sesuai supaya proses pembangunan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kita perlu melihat berapa ramai pemain yang dipilih terlebih dahulu. Jika ramai pemain berbakat dikenal pasti, kita akan mengambil lebih ramai, tetapi kita juga perlu memastikan jumlah jurulatih mencukupi.

“Tidak mungkin seorang jurulatih menjaga terlalu ramai pemain. Kita perlu merancang struktur yang sesuai, termasuk keperluan jurulatih dan penolong jurulatih,” katanya.

Justeru, rombakan Disember ini dijangka bukan sekadar proses menggugurkan atau mengekalkan pemain.

Ia juga bakal menentukan hala tuju baharu BAM dalam usaha memperkukuh semula kategori yang masih belum mencapai tahap diharapkan.

Dan berdasarkan prestasi sepanjang musim, kem perseorangan lelaki dijangka menjadi antara bahagian yang paling mendapat perhatian.