sukan

TERKINI: JDT akhirnya buka mulut isu dikenakan penalti oleh FIFA

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil memberikan penjelasan berhubung penalti yang dikenakan terhadap kelab itu berkaitan arahan pembayaran di bawah Peraturan Clearing House FIFA (FCH).

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, mengesahkan perkara berkenaan menerusi kenyataan malam tadi dan menjelaskan pengurusan tertinggi kelab pada awalnya tidak mengetahui isu tersebut.

Menurutnya, siasatan dalaman telah dijalankan selepas perkara itu diketahui.

“Kami mendapati bahawa surat-menyurat dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung perkara tersebut telah terlepas pandang.

“Kami telah mengenal pasti beberapa individu yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

JDT turut menegaskan bahawa walaupun kadar penalti yang dikenakan hanya 2.5 peratus daripada jumlah berkaitan, kelab tetap memandang serius kecuaian berkenaan dan mahu memastikan perkara sama tidak berulang.

Isu tersebut mula mendapat perhatian selepas fail kes bertarikh 22 September tersebar di media sosial.

Berdasarkan maklumat kes, penalti itu berkaitan kelewatan pembayaran pampasan latihan yang sepatutnya disalurkan melalui mekanisme FCH.

Jumlah keseluruhan pampasan yang terlibat adalah €44,878.68, bersamaan kira-kira RM215,000.

Penalti 2.5 peratus daripada jumlah berkenaan menjadikan levi yang perlu dibayar sekitar €1,122 atau kira-kira RM5,400.

Levi tersebut berfungsi sebagai pengganti faedah lewat bayar dan perlu disalurkan kepada kelab yang berhak menerimanya melalui sistem FIFA Clearing House.

Kes berkenaan membabitkan sebanyak 31 perintah pembayaran yang dikaitkan dengan perpindahan dua pemain import JDT.

Ia melibatkan penyerang Colombia, Jorge Leonardo Obregon, yang menyertai Harimau Selatan dari kelab Croatia, HNK Rijeka, selain penyerang kelahiran Brazil, Joao Figueiredo, yang berpindah dari kelab Turkiye, RAMS Basaksehir.

Mekanisme pampasan latihan diwujudkan bagi memastikan kelab yang terbabit dalam pembangunan pemain menerima bahagian yang sewajarnya apabila berlaku perpindahan tertentu.

Dalam kes JDT, isu utama yang timbul bukan berkaitan jumlah pampasan itu sendiri, sebaliknya kelewatan dalam proses pembayaran yang menyebabkan penalti tambahan dikenakan.

JDT dalam kenyataannya memberi gambaran bahawa tindakan dalaman sudah diambil selepas punca masalah dikenal pasti.

Juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu turut menegaskan tahap tadbir urus dan pematuhan terhadap proses antarabangsa perlu diberikan perhatian serius.

Walaupun nilai penalti sekitar RM5,400 adalah kecil berbanding jumlah transaksi kelab secara keseluruhan, JDT jelas tidak mahu perkara berkenaan dianggap remeh.

Bagi Harimau Selatan, fokus selepas ini adalah memastikan sebarang urusan dengan FIFA serta proses Clearing House dipantau lebih ketat supaya isu sama tidak berulang.