sukan

Terbuka Perancis : Satu Slot Separuh Akhir sah jadi Milik Malaysia lebih Awal

PARIS: Kekuatan beregu lelaki negara terus menyerlah di Terbuka Perancis 2026 apabila Malaysia sudah mengesahkan satu tempat ke separuh akhir sebelum aksi suku akhir bermula.

Situasi itu terhasil selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun memastikan kemaraan ke kelompok lapan terbaik dan dijadualkan berdepan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Wei Chong-Kai Wun melengkapkan laluan ke suku akhir dengan menyingkirkan pilihan kelapan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, secara straight set 25-23, 21-14.

Kemenangan tersebut cukup bermakna kerana pasangan Jepun itu mempunyai pengalaman luas di pentas tertinggi dan pernah bergelar juara dunia.

Set pertama berlangsung sengit apabila Wei Chong-Kai Wun dipaksa bertarung sehingga melepasi mata ke-21.

Namun, pasangan negara berjaya bertahan dalam situasi genting untuk menamatkan permainan 25-23 sebelum menguasai set kedua dengan keputusan 21-14.

Aaron-Wooi Yik pula mara tanpa perlu turun gelanggang pada pusingan 16 terbaik selepas lawan mereka dari Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, menarik diri.

Ini bermakna kedua-dua pasangan Malaysia akan bertembung di suku akhir dengan pemenang secara automatik membawa cabaran negara ke separuh akhir.

Malaysia bahkan berpeluang mempunyai lebih daripada satu pasangan dalam kelompok empat terbaik menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Sze Fei-Izzuddin meneruskan kemaraan selepas melalui pertarungan tiga set menentang pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Selepas menang mudah 21-6 pada set pertama, pasangan negara kehilangan rentak apabila tewas 14-21 pada permainan kedua.

Namun, Sze Fei-Izzuddin berjaya kembali mengawal keadaan pada rubber set untuk menang 21-18 dan memastikan satu lagi tiket suku akhir buat Malaysia.

Ujian terbesar kini menanti mereka.

Sze Fei-Izzuddin akan berdepan pasangan nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, yang mempunyai rekod empat kemenangan daripada enam pertemuan sebelum ini.

Kim-Seo juga baru sahaja menamatkan perjalanan pasangan baharu Malaysia, Aaron Tai-Yap Roy King, dengan kemenangan straight set 21-14, 21-16.

Dalam kategori beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut memastikan Malaysia terus mempunyai wakil apabila menyingkirkan Ong Xin Yee-Carmen Ting.

Pearly-Thinaah menang 21-14, 22-20 selepas berdepan tentangan lebih sengit pada set kedua.

Pasangan utama negara itu mengakui keadaan fizikal mereka belum berada pada tahap terbaik selepas melalui jadual padat di Eropah.

“Kami tidak fikir keadaan fizikal kami begitu baik dan perkara itu jelas kelihatan dalam perlawanan. Namun, kami terus mengingatkan satu sama lain supaya percaya dan saling menyokong. Itu yang mampu kami lakukan buat masa ini,” katanya kepada BWF.

Pearly-Thinaah kini akan berdepan Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria untuk tempat ke separuh akhir.

Namun, sebelum perlawanan suku akhir bermula, Malaysia sudah mempunyai satu jaminan.

Pertembungan Wei Chong-Kai Wun dengan Aaron-Wooi Yik memastikan sekurang-kurangnya satu beregu lelaki negara akan kekal beraksi sehingga separuh akhir Terbuka Perancis.