sukan

TERKINI : Hoo Pang Ron cipta Rekod peribadi baharu

PARIS: Hoo Pang Ron mengakui keyakinan yang diberikan oleh pasangannya, Lai Pei Jing, menjadi antara faktor penting di sebalik kemaraan mereka ke separuh akhir Terbuka Perancis 2026 di Arena Grand Paris.

Beregu campuran profesional negara itu menundukkan pasangan Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen, 21-17, 20-22, 21-18 dalam aksi suku akhir yang berlangsung sengit.

Kemenangan tersebut bukan sahaja membawa mereka ke kelompok empat terbaik, malah memberikan Pang Ron satu pencapaian peribadi apabila buat kali pertama dalam kariernya berjaya mara ke separuh akhir dalam dua kejohanan berturut-turut.

Minggu lalu, Pang Ron-Pei Jing turut mara ke separuh akhir Terbuka Denmark.

Menurut Pang Ron, sokongan dan keyakinan yang diberikan Pei Jing membantunya bermain dengan lebih bebas di gelanggang.

“Dia beri saya lebih keyakinan dan suruh saya lakukan apa sahaja yang saya mahu lakukan, dan dia akan ikut saya.

“Walaupun saya melakukan beberapa pukulan yang salah, dia kata tidak mengapa dan kami masih boleh lakukannya,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

Keyakinan itu jelas memainkan peranan penting ketika pasangan negara berdepan tekanan selepas kehilangan set kedua 20-22.

Mereka tidak membenarkan kekecewaan tersebut menjejaskan permainan sebaliknya kembali tenang untuk menamatkan rubber set 21-18.

Pang Ron sendiri mengakui pencapaian dua separuh akhir berturut-turut cukup bermakna buat dirinya.

“Saya sangat gembira. Ini kali pertama kami mara ke separuh akhir secara berturut-turut. Saya tidak pernah lakukan ini sepanjang karier saya sebelum ini, jadi terima kasih kepada pasangan saya.

“Tetapi kami perlu terus fokus kepada perlawanan seterusnya,” katanya.

Perjalanan mereka di Paris juga memperlihatkan tahap ketahanan tinggi.

Kesemua tiga kemenangan setakat ini diperoleh menerusi rubber set.

Pada pusingan pertama, mereka bangkit daripada kehilangan set awal untuk menewaskan Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dari China 14-21, 21-15, 21-15.

Mereka kemudian mengatasi Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui dari Taiwan 21-13, 13-21, 21-17 sebelum sekali lagi dipaksa bekerja keras menentang Seidel-Nguyen.

Pei Jing berkata fokus mereka sepanjang perlawanan adalah kekal berpegang kepada strategi dan tidak terlalu memikirkan mata sebelumnya.

“Ia benar-benar mata demi mata sepanjang perlawanan. Kami cuba fokus pada setiap pukulan, apa yang perlu dilakukan dan strategi kami,” katanya.

Pang Ron-Pei Jing kini akan berdepan pilihan keenam dari China, Guo Xin Wa-Cheng Fang Hui, untuk tiket ke final.

Selepas tiga kemenangan tiga set berturut-turut, keyakinan antara kedua-dua pemain kini menjadi antara kekuatan utama mereka dalam usaha meneruskan satu lagi kemaraan besar di Paris.