sukan

Peguam Zii Jia tampil perjelas cerita sebenar di sebalik isu Mahkamah

Pertikaian berkaitan pengurusan LZJ Management Sdn Bhd kini dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Lee Zii Jia memohon perintah bagi membolehkannya mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat tersebut.

Permohonan berkenaan difailkan pada 2 Julai 2026 selepas satu usaha terdahulu untuk mengadakan EGM gagal dilaksanakan.

Namun, peguam Zii Jia, Ahmad Zayd Ahmad Zuber dari Tetuan Faisal & Zayd, menegaskan prosiding tersebut bukan bertujuan menuduh mana-mana pihak melakukan salah laku.

“Apa yang kita minta pada asasnya adalah permohonan untuk mengadakan EGM syarikat berkenaan sahaja.

“Tiada sebarang tuduhan antara pihak terbabit. Kita hanya memohon bantuan mahkamah untuk mengadakan EGM mengikut terma yang diminta,” katanya ketika dihubungi.

Menurut afidavit sokongan, Zii Jia pernah cuba mengadakan EGM pada 22 Disember tahun lalu.

Namun, mesyuarat itu gagal diteruskan selepas bapanya, Lee Chee Hin, kakaknya, Lee Zii Yii serta adiknya, Lee Tao tidak hadir.

Walaupun notis mesyuarat dikatakan sudah disampaikan, jumlah kehadiran tidak mencukupi untuk memenuhi kuorum yang diperlukan mengikut Akta Syarikat 2016.

Dokumen itu turut menyatakan Zii Jia sudah berusaha menghubungi ahli keluarganya secara peribadi selain meneroka saluran lain termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Afidavit sokongan berkenaan mendakwa keadaan itu akhirnya membawa kepada kebuntuan dalam pengurusan dan pentadbiran LZJ Management.

Zii Jia kemudian meminta mahkamah membenarkannya memanggil EGM sendiri.

Beliau turut mahu diberikan kuasa untuk mengeluarkan notis mesyuarat serta melantik pengerusi bebas yang akan mengendalikan proses tersebut.

Antara perkara yang mahu dibolehkan untuk diputuskan melalui undian pemegang saham ialah penyingkiran pengarah sedia ada, pelantikan pengarah baharu dan pelantikan setiausaha syarikat baharu.

Menurut permohonan itu, Zii Jia mendakwa memegang 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, diikuti Zii Yii sebanyak sembilan peratus dan Tao satu peratus.

Dalam masa sama, Zii Jia turut memohon injunksi interim sementara prosiding utama belum diselesaikan.

Antara sekatan yang diminta adalah supaya Chee Hin dan Zii Yii tidak meluluskan fi pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan lain kepada diri sendiri selain gaji bulanan masing-masing.

Beliau turut memohon supaya keputusan tertentu berkaitan struktur syarikat tidak boleh dibuat tanpa kebenaran mahkamah.

Ini termasuk pelantikan atau penyingkiran pengarah, pertukaran setiausaha syarikat, pelupusan aset material, penerbitan saham baharu dan perubahan terhadap struktur pemilikan saham.

Selain Chee Hin, Zii Yii dan Tao, LZJ Management turut dinamakan sebagai responden.

Walaupun dokumen mahkamah memperincikan beberapa permohonan tersebut, Ahmad Zayd tidak mahu mendedahkan secara khusus alasan utama Zii Jia mahu EGM diadakan.

Apa yang ditekankan pihak peguam ialah prosiding itu bertujuan membolehkan sebuah mesyuarat syarikat berlangsung, bukannya membawa tuduhan salah laku terhadap ahli keluarga pemain berkenaan.

Pendengaran permohonan tersebut dijadualkan pada 25 November.

Sehingga itu, semua dakwaan berkaitan kebuntuan pengurusan serta perkara lain dalam afidavit masih tertakluk kepada penelitian dan keputusan Mahkamah Tinggi.