sukan

TERKINI : Info Siaran Langsung aksi Aaron-Roy King di Final Terbuka Artik 2026

Daripada gandingan baharu kepada wakil tunggal Malaysia di pentas final, perjalanan Aaron Tai-Yap Roy King di Terbuka Artik 2026 kini sampai ke kemuncaknya apabila mereka memburu gelaran Super 500 pertama di Vantaa Energia Areena, Finland, hari ini.

Aaron-Roy King akan membuat perhitungan dengan pasangan Chinese Taipei, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng, dalam final beregu lelaki.

Ia bakal menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan, sekali gus menjadikan perlawanan tersebut lebih sukar diramal.

Apa yang pasti, Aaron-Roy King turun dengan keyakinan tinggi selepas mencatat kempen cukup luar biasa dalam kejohanan pertama mereka bersama.

Sejak pusingan awal, gandingan Malaysia itu belum kehilangan satu set.

Mereka terlebih dahulu mengetepikan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-12, 21-13 sebelum mencipta satu lagi kemenangan berkualiti ke atas pilihan ketujuh, Lee Fang-chih-Lee Fang-jen dari Chinese Taipei, 21-19, 21-11.

Di suku akhir, pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul pula menjadi mangsa seterusnya selepas tewas 13-21, 19-21.

Aaron-Roy King kemudian memastikan tiket ke final menerusi kemenangan 21-14, 21-16 ke atas Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer dari Denmark dalam masa hanya 37 minit.

Prestasi tersebut cukup menarik kerana Aaron dan Roy King baru sahaja digabungkan untuk kejohanan kali ini.

Namun, mereka tidak kelihatan seperti pasangan yang masih tercari-cari keserasian.

Sebaliknya, kedua-duanya berjaya mengekalkan tahap permainan dari satu pusingan ke satu pusingan sehingga berada di pentas terakhir kejohanan.

Lai-Tsai pula bukan lawan yang boleh dipandang ringan.

Pasangan Chinese Taipei itu menempah tiket final selepas mengatasi Julien Maio-William Villeger dari Perancis 21-15, 19-21, 21-13 dalam aksi separuh akhir.

Mereka kini berada di ranking ke-27 dunia dan pastinya mahu menghalang pasangan Malaysia daripada melengkapkan kempen sulung dengan gelaran.

Bagi Aaron-Roy King, final ini membawa nilai lebih besar daripada sekadar perebutan trofi.

Ia menjadi peluang untuk membuktikan bahawa kombinasi baharu tersebut mempunyai potensi untuk terus dibangunkan dalam struktur beregu lelaki negara.

Daripada sebuah percubaan, mereka kini sudah berada satu kemenangan daripada gelaran Jelajah Dunia Super 500.

Aaron-Roy King juga menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang masih mempunyai peluang membawa pulang kejuaraan dari Finland.

Berdasarkan jadual yang dikongsikan, final beregu lelaki merupakan perlawanan kelima hari ini dan dijangka berlangsung sekitar jam 8 malam waktu Malaysia.

Selepas empat kemenangan straight set berturut-turut, tugas terakhir kini menanti.

Jika mampu mengekalkan ketenangan dan rentak yang sama, Aaron-Roy King berpeluang mengubah debut mereka sebagai pasangan menjadi sebuah kempen bergelar juara.

BADMINTON: INFO SIARAN LANGSUNG (LIVE STREAMING) FINAL TERBUKA ARTIK

Tarikh: 11 Oktober 2026 (Ahad)
Saluran: Astro Badminton (815)
Masa: Bermula 8 Malam
Venue: Vantaa Energia Arena, Finland