sukan

Tangisan Lim You di aksi terakhir kelayakan Piala Asia

Kekecewaan gagal membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 jelas terpancar pada wajah bintang muda negara, Lim You, yang menitiskan air mata selepas skuad remaja wanita negara tewas 0-4 kepada India di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Pemain berusia 14 tahun itu beraksi sepanjang 90 minit dalam perlawanan penentuan juara Kumpulan E, namun Malaysia gagal mengekang keampuhan India yang tampil lebih dominan untuk mengesahkan tiket ke pusingan akhir.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, Lim You dilihat tidak dapat menyembunyikan kesedihannya selepas perjuangan skuad negara berakhir di tempat kedua kumpulan.

Situasi tersebut turut menarik perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang hadir menyaksikan perlawanan hingga tamat.

Hannah yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kemudian mendekati Lim You untuk memujuk serta memberikan kata-kata semangat kepada pemain muda itu.

Walaupun keputusan menentang India tidak memihak kepada Malaysia, prestasi Lim You sepanjang kempen kelayakan tetap memberikan petanda positif terhadap potensi pemain tersebut.

Lim You sanggup mengambil cuti dari Amerika Syarikat untuk menyertai kem skuad kebangsaan dan memulakan kempen sebagai pemain gantian ketika Malaysia berdepan Syria.

Dia dimasukkan kira-kira 30 minit terakhir dan berjaya membantu rakan sepasukan dalam usaha menghasilkan jaringan kemenangan.

Pemain muda itu kemudian meneruskan prestasi baik ketika Malaysia menewaskan Iraq 4-0 dalam aksi kedua.

Sumbangannya dalam perlawanan tersebut turut menyaksikan Lim You dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Namun, cabaran menentang India ternyata berbeza.

Malaysia yang dibimbing Takayoshi Ishihara bergelut untuk mengimbangi permainan lawan, dengan Lim You bermula sebagai penyerang sayap kanan sebelum beralih ke sebelah kiri pada separuh masa kedua.

India membuka jaringan menerusi Redima Devi Chingkhamayum pada minit ke-29 sebelum Pritika Barman menggandakan kelebihan pada minit ke-51.

Anushka Kumari menambah jaringan ketiga tiga minit kemudian, manakala Nidhi Kumar melengkapkan kemenangan 4-0 pada penghujung permainan.

Penjaga gol Malaysia, Putri Aina Husna Mohd Subri, turut melakukan beberapa aksi menyelamat penting, sementara Isabella Saffiya O Luanaigh yang masuk sebagai pemain gantian cuba membantu menghasilkan ancaman di bahagian serangan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan Kumpulan E di tempat kedua dengan enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan.

Hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di China dari 31 Mac hingga 17 April 2027.

Bagi Lim You, air mata selepas wisel penamat menggambarkan betapa besarnya harapan untuk membawa Malaysia ke pentas Asia.

Namun, pada usia 14 tahun dan selepas memberi impak dalam kempen kelayakan ini, perjalanan pemain muda itu bersama skuad negara baru sahaja bermula.