sukan

Tewaskan Vietnam, Ranking Malaysia melonjak tiga anak tangga

Harimau Malaya mempunyai peluang untuk melonjak sehingga tiga anak tangga dalam ranking FIFA sekiranya berjaya menewaskan Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala ASEAN FIFA 2026 di Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.

Setakat selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia sudah memperoleh tambahan 8.72 mata ranking menerusi dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Jumlah itu meningkatkan keseluruhan pungutan skuad negara kepada 1,095.75 mata, namun Harimau Malaya masih kekal berada di kedudukan ke-136 dunia.

Peluang untuk melakukan lonjakan lebih besar bagaimanapun masih terbuka.

Kemenangan ke atas Vietnam dijangka memberikan sekitar 6.33 mata tambahan kepada Malaysia dan berpotensi membawa skuad negara naik sehingga kedudukan ke-133 dunia.

Justeru, pertemuan esok membawa dua kepentingan besar.

Selain memburu kedudukan ketiga dalam kejohanan, Malaysia turut mempunyai peluang untuk memperkukuhkan kedudukan dalam ranking FIFA menerusi satu lagi keputusan positif.

Harimau Malaya sebelum ini menampilkan kempen konsisten dalam Kumpulan A.

Malaysia membuka saingan dengan menewaskan Bangladesh 3-0 sebelum terikat 0-0 menentang Indonesia.

Dalam aksi terakhir kumpulan, skuad negara menampilkan persembahan lebih agresif dengan membelasah Singapura 6-0.

Keputusan tersebut membolehkan Malaysia mengumpul tujuh mata dan menamatkan tiga perlawanan tanpa kekalahan.

Namun, jumlah berkenaan masih belum mencukupi untuk membawa Harimau Malaya ke final apabila Indonesia turut mengumpul mata serta perbezaan jaringan yang sama.

Malaysia akhirnya terpaksa berpuas hati sebagai naib juara kumpulan dan kini akan berdepan Vietnam.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu pemain mengekalkan momentum yang sudah dibina sepanjang saingan kumpulan.

“Memang perlawanan seperti lawan Vietnam tu perlawanan-perlawanan yang kita menantikanlah. Dan dengan situasi itu, kita banyak kali orang kata terkandas menentang Vietnam.

“kali ini pasukan yang terbaik dengan momentum yang terbaik, kita mampu dapat keputusan yang positif,” kata Cheng Hoe.

Bagi skuad negara, kemenangan ke atas Vietnam akan memberikan penutup yang lebih baik selepas terlepas peluang ke final.

Pada masa sama, tambahan sekitar 6.33 mata FIFA menjadikan aksi itu mempunyai nilai lebih besar daripada sekadar perebutan tempat ketiga.

Selepas memperoleh 8.72 mata daripada tiga perlawanan terdahulu, satu lagi kemenangan mampu memberikan dorongan penting terhadap kedudukan Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Malaysia dan Vietnam akan bertemu di Gelora Bung Karno esok dengan sepak mula dijadualkan pada jam 5 petang waktu Malaysia.