sukan

Piala ASEAN FIFA: Giliran Paulo Josue buka mulut

Penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue, mengakui sukar mempercayai Bangladesh boleh dibolosi sembilan kali ketika berdepan Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 9-2 buat Indonesia, sekali gus membolehkan Sang Garuda mara ke pusingan akhir kejohanan edisi sulung itu.

Keputusan tersebut turut memberi kesan besar kepada Malaysia yang sebelum itu sudah melakukan segala yang diperlukan dalam aksi terakhir kumpulan dengan memburu kemenangan dan sebanyak mungkin jaringan.

Paulo berkata, Harimau Malaya turun dengan sasaran jelas untuk memenangi perlawanan dan menghasilkan jumlah jaringan yang besar bagi meningkatkan peluang mara.

“Hari ini ialah perlawanan di mana kita kena menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Kita menjaringkan banyak gol tetapi malangnya, itu tidak cukup (untuk layak ke final).

“Nampaknya Indonesia menjaringkan sembilan gol. Anda tahu, amat sukar untuk percaya bahawa pihak lawan dibolosi sembilan kali dalam kejohanan sebegini tetapi kita kena terima.

“Jadi, kita kena bangkit dan hadapi perlawanan seterusnya dan cuba menamatkan (kejohanan) sebaik mungkin.” katanya.

Bagi Paulo, keputusan Indonesia menewaskan Bangladesh dengan sembilan jaringan jelas mengejutkan, terutama dalam pertandingan yang menyaksikan setiap keputusan membawa kesan besar terhadap kedudukan kumpulan.

Namun, pemain Harimau Malaya itu memilih untuk tidak terus memikirkan perkara berkenaan kerana Malaysia masih mempunyai satu lagi perlawanan untuk dihadapi.

Skuad negara menamatkan saingan Kumpulan A sebagai naib juara dan kini perlu mengalihkan perhatian kepada aksi penentuan menentang Vietnam.

Vietnam pula menduduki tempat kedua Kumpulan B, sekali gus menemukan dua naib juara kumpulan dalam perlawanan yang dijadual berlangsung Isnin ini.

Buat Paulo, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan pemain kembali bangkit daripada kekecewaan gagal mara ke final.

Walaupun Harimau Malaya berjaya menghasilkan banyak jaringan dalam aksi terakhir kumpulan, jumlah tersebut masih belum mencukupi selepas Indonesia mencatat kemenangan lebih besar ke atas Bangladesh.

Kini, skuad negara tidak mempunyai pilihan selain menerima keputusan kumpulan dan memberikan sepenuh perhatian kepada perlawanan seterusnya.

Pertemuan menentang Vietnam menjadi peluang terakhir Malaysia untuk menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan keputusan positif selepas terlepas peluang beraksi dalam perlawanan akhir.