sukan

TERKINI: Tamparan Hebat buat Malaysia menjelang aksi berdepan Vietnam

Harimau Malaya mula mengalihkan perhatian sepenuhnya kepada pertemuan menentang Vietnam dalam penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026, namun perlu melakukannya tanpa Dion Cools dan Faisal Halim.

Ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, berkata skuad negara kini kembali berada dalam suasana positif selepas melalui kekecewaan gagal mendapatkan tiket ke final walaupun menutup saingan Kumpulan A dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura.

Cabaran utama menjelang aksi di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin ini, ialah kehilangan dua pemain penting yang tidak lagi berada bersama pasukan.

Faisal sudah meninggalkan kem negara selepas aksi menentang Singapura di Bandung, Khamis lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut di tanah air.

Pemain itu mengalami kecederaan betis dan tendon ketika Malaysia berdepan Indonesia pada Isnin lalu.

Cools pula terpaksa meninggalkan kem sejurus tamat perlawanan menentang Singapura bagi memberikan perhatian kepada urusan keluarga.

“Selepas perlawanan menentang Singapura tempoh hari, Dion (Cools) tidak bersama kita untuk perlawanan akan datang disebabkan beliau mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan dengan segera.

“Kita menghormati keputusan Dion dan mengharapkan yang terbaik untuk beliau. Pada masa sama, kita mengharapkan pemain-pemain lain bersedia untuk perlawanan menentang Vietnam,” katanya.

Ketiadaan Cools memberikan kesan kepada pilihan di bahagian pertahanan kerana beliau merupakan antara tonggak benteng Harimau Malaya selain memegang tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe mendapat satu perkembangan positif apabila Bergson Da Silva disahkan boleh diturunkan.

Penyerang naturalisasi itu bebas daripada penggantungan selepas mengumpul dua kad kuning dan kekal menjadi pilihan menjelang pertemuan dengan Vietnam.

Bagi Cheng Hoe, perkara lebih penting ketika ini ialah memastikan pemain tidak terus dibelenggu kekecewaan selepas gagal menjuarai Kumpulan A.

“Memang ketika itu keseluruhan pasukan termasuk pemain dan pegawai agak kecewa, tetapi walaupun kita tidak layak ke final, semua anggota pasukan kekal positif dan suasana cukup baik.

“Kita kena kekalkan prestasi dan konsistensi kerana kemenangan pasukan datang daripada semangat berpasukan dan semangat juang yang baik. Itu yang kita mahu dalam usaha melihat Harimau Malaya bangkit semula,” katanya.

Malaysia sebelum ini memberikan tindak balas meyakinkan dengan membelasah Singapura 6-0 di Stadium Si Jalak Harupat.

Namun, keputusan itu tidak mencukupi apabila Indonesia turut mencatat kemenangan besar ke atas Bangladesh dan mengatasi Harimau Malaya menerusi jumlah jaringan.

Kini, Malaysia mempunyai satu lagi peluang untuk menamatkan kejohanan dengan keputusan positif.

Walaupun berdepan kehilangan Cools dan Faisal, Cheng Hoe mahu pemain yang ada mengekalkan keyakinan serta tahap permainan yang membawa kepada kemenangan besar dalam aksi terakhir kumpulan.

Pertemuan dengan Vietnam di GBK menjadi ujian terakhir Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026, manakala Thailand dan Indonesia akan membuat perhitungan dalam perlawanan akhir di venue sama.