sukan

Penantian berdekad-dekad , Eain Yow, Sivasangari curi perhatian dunia

Kejayaan Ng Eain Yow dan S Sivasangari meraih pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sekadar menghadiahkan kejayaan buat Malaysia, malah mencipta sejarah baharu apabila kedua-duanya menjadi pemain skuasy pertama yang layak ke Sukan Olimpik.

Pencapaian itu pantas mendapat perhatian dunia apabila saluran media sosial rasmi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), @olympics, turut mengangkat kejayaan dua sensasi negara berkenaan menerusi satu hantaran khas.

“Malaysia mencipta sejarah! Eain Yow dan Sivasangari mengesahkan tempat Olimpik untuk Malaysia di #LA28 selepas masing-masing menjuarai perseorangan lelaki dan wanita di #AsianGames.

“Mereka menjadi pemain skuasy pertama dalam sejarah yang meraih tempat ke Olimpik!” umum laman rasmi @olympics kepada jutaan pengikutnya.

Pengiktirafan berkenaan hadir selepas Eain Yow dan Sivasangari masing-masing mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki dan wanita di Nagoya Kinjo Futo Arena, sekali gus mendapatkan kelayakan automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Skuasy bakal dipertandingkan sebagai sukan yang menawarkan pingat buat kali pertama dalam sejarah Olimpik pada edisi berkenaan.

Selepas penantian selama berdekad-dekad untuk mendapat tempat di pentas Olimpik, Malaysia kini mencipta satu lagi catatan bersejarah apabila menjadi negara pertama mempunyai pemain yang mengesahkan kelayakan dalam sukan berkenaan.

Ia menjadi pencapaian yang mempunyai nilai tersendiri apabila beberapa legenda terbesar skuasy dunia tidak pernah berpeluang beraksi di Olimpik sepanjang karier mereka.

Juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David, serta dua ikon Pakistan, Jahangir Khan dan Jansher Khan, mengakhiri kerjaya masing-masing sebelum skuasy diberikan tempat dalam program Olimpik.

Kini, Eain Yow dan Sivasangari menjadi dua nama pertama yang secara rasmi membuka lembaran baharu itu.

Sivasangari memastikan tempatnya ke LA28 selepas menewaskan pemain muda India berusia 18 tahun, Anahat Singh, 11-4, 11-4, 11-7 dalam final perseorangan wanita.

Kemenangan tersebut membolehkan pemain negara mempertahankan gelaran Sukan Asia dan pada masa sama mengesahkan tiket Olimpik.

Eain Yow pula melakukan perkara sama dalam kategori lelaki.

Dia menundukkan pemain nombor 26 dunia dari India, Abhay Singh, 11-9, 11-5, 11-5 untuk mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki.

Lebih istimewa, Eain Yow mengharungi keseluruhan kejohanan tanpa kehilangan satu permainan.

Kejayaan kedua-dua pemain itu menjadikan Aichi-Nagoya sebagai pentas yang bukan sahaja memberikan mereka gelaran juara Sukan Asia, tetapi turut memastikan nama Malaysia menjadi sebahagian daripada sejarah awal skuasy di Olimpik.

Apabila skuasy membuat penampilan sulung di Los Angeles 2028, Eain Yow dan Sivasangari sudah mempunyai tempat untuk membawa cabaran negara dalam satu detik yang dinantikan dunia skuasy sejak sekian lama.