sukan

“Saya tak nak cakaplah ” — Arif Aiman

“Saya tak nak cakaplah, korang boleh nampak kan. Okey?”

Itu jawapan ringkas Arif Aiman Hanapi apabila ditanya mengenai kemampuannya melepasi kawalan pemain Indonesia yang mempunyai pengalaman beraksi di Eropah dalam pertemuan kedua-dua pasukan pada Piala ASEAN FIFA 2026.

Pemain sayap Harimau Malaya itu tidak mahu bercakap besar walaupun aksi beraninya ketika berdepan pertahanan Indonesia menjadi antara perkara yang mendapat perhatian.

Arif beberapa kali menunjukkan keyakinan untuk mencabar lawan dalam situasi satu lawan satu dan tidak kelihatan gentar berdepan pemain yang mempunyai kelebihan fizikal serta pengalaman di Eropah.

Namun, beliau memilih untuk tidak membuat perbandingan atau memberikan penilaian terhadap dirinya sendiri.

Sebaliknya, Arif mahu apa yang ditampilkan di atas padang menjadi ukuran terhadap kemampuan sebenar.

Pendekatan itu selari dengan penekanannya bahawa pencapaian Harimau Malaya sepanjang Kumpulan A perlu dinilai secara keseluruhan dan bukan hanya berdasarkan prestasi seorang pemain.

Malaysia mengharungi tiga perlawanan kumpulan tanpa mengalami kekalahan.

Skuad negara memulakan saingan dengan menewaskan Bangladesh 3-0 sebelum mencatat keputusan seri 0-0 menentang Indonesia.

Dalam aksi terakhir kumpulan, Harimau Malaya menghasilkan kemenangan terbesar mereka apabila membelasah Singapura 6-0.

Lebih penting, Malaysia tidak dibolosi dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut dan menghasilkan sembilan jaringan.

Arif berharap penyokong tidak terlalu kecewa dengan pasukan selepas mereka memberikan segala yang termampu sepanjang saingan kumpulan.

“Bagi saya, tak perlu kecewalah sebagai penyokong Tanah Air. Tak perlu kecam kami atau apa, kita orang dah berikan yang terbaik dalam saingan tiga perlawanan ini tanpa bolos.

“Kita lagi baik daripada pasukan-pasukan yang ada negara di sini, dan mungkin pasukan ini akan lebih kuat lagi pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.

Bagi Arif, perjalanan Harimau Malaya masih belum selesai kerana skuad negara akan berdepan Vietnam dalam penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin ini.

Aksi tersebut kini menjadi fokus utama selepas pasukan menamatkan kempen kumpulan dengan dua kemenangan, satu seri dan rekod tanpa bolos.

Pemain Johor Darul Ta’zim itu mahu momentum berkenaan diteruskan ketika berdepan Vietnam.

Selepas sembilan gol berjaya dihasilkan dalam tiga perlawanan terakhir, Harimau Malaya mempunyai satu lagi peluang untuk menutup Piala ASEAN FIFA 2026 dengan keputusan positif.

Bagi Arif sendiri, tumpuan kekal kepada pasukan dan aksi seterusnya, manakala soal kemampuan individunya berdepan pemain berpengalaman di Eropah, beliau memilih untuk membiarkan prestasi di atas padang memberikan jawapannya.