Bekas penerjun wanita negara, Kimberly Bong Qian Ping, mencuri perhatian selepas mengumumkan bahawa dirinya telah memeluk agama Islam pada Julai lalu.
Kimberly berkongsi perkembangan itu menerusi media sosial sambil meluahkan rasa syukur terhadap keputusan yang disifatkannya sebagai antara detik paling istimewa dalam kehidupannya.
“Never been prouder of the decision I made in July. Truly one of the most special moments. Alhamdulillah 🤍,” tulisnya di Instagram.
Kimberly sebelum ini mengumumkan persaraan daripada sukan terjun pada 2024 selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan.
Bekas atlet negara itu sinonim dengan acara 3 meter papan anjal dan platform 10 meter serta mula mencuri perhatian ketika berusia 14 tahun selepas menyertai Kejohanan Grand Prix (GP) Terjun FINA Australia pada 2016.
Sepanjang kariernya, Kimberly mencatat beberapa pencapaian di pentas antarabangsa termasuk memenangi pingat emas Sukan SEA dan Terbuka Malaysia pada 2023.
Dia turut meraih pingat perak dan gangsa pada edisi Sukan SEA 2021 serta 2017.
Dalam perkembangan lain, Kimberly dilaporkan bakal memasuki fasa baharu dalam kehidupannya apabila dijangka bergelar isteri kepada bekas penyerang skuad Bawah 23 (B23) negara, Danial Asri.
Danial kini beraksi bersama kelab DPMM.
Perkongsian Kimberly mengenai penghijrahannya ke agama Islam serta perkembangan berkaitan perkahwinannya turut mendapat perhatian peminat di media sosial.