Kontroversi yang tercetus ketika final Piala Dunia ISTAF acara regu berpasukan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Sabtu lalu mendorong Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengambil langkah rasmi dengan mengemukakan aduan kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
PSM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Abidullah Salleh, menyatakan pihaknya memandang serius tindakan beberapa pegawai daripada Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) yang didakwa berada di kawasan bangku simpanan pelawat walaupun tidak didaftarkan secara sah dalam senarai rasmi pasukan untuk perlawanan berkenaan.
Menurut beliau, situasi tersebut berlaku ketika operasi perlawanan masih aktif dan keadaan di gelanggang memerlukan kawalan yang profesional serta pematuhan penuh terhadap undang-undang pertandingan.
Katanya, kehadiran pegawai terbabit bukan sahaja menimbulkan persoalan dari sudut pematuhan prosedur pertandingan, malah didakwa gagal membantu meredakan ketegangan ketika perlawanan berdepan gangguan.
“Sebagai pemimpin kanan sepak takraw di Thailand dan wakil yang memegang jawatan penting dalam pergerakan sukan dan struktur Olimpik, adalah sangat mengecewakan dan membimbangkan apabila mendapati bahawa pegawai-pegawai ini tidak membantu dalam menenangkan keadaan atau menggalakkan pemain Thailand untuk kembali ke gelanggang dan melengkapkan perlawanan mengikut Undang-undang Permainan dan peraturan pertandingan,” katanya.
Abidullah turut menjelaskan bahawa penglibatan berterusan pegawai berkenaan ketika permainan dihentikan dilihat menambah lagi kekeliruan dalam situasi yang sudah pun berada dalam tekanan tinggi.
“Sebaliknya, kehadiran mereka dan penglibatan berterusan dengan pemain semasa pemberhentian perlawanan nampaknya menyumbang lebih kepada gangguan dan ketidakpastian yang menyelubungi situasi waktu itu,” katanya lagi.
PSM turut mengingatkan bahawa individu yang memegang jawatan penting dalam struktur sukan antarabangsa seharusnya menjadi contoh dari sudut disiplin, profesionalisme dan penghormatan terhadap pengadil serta pegawai pertandingan.
Menurut kenyataan itu, sebarang ketidakpuasan hati terhadap keputusan pengadil perlu diselesaikan menerusi saluran rasmi yang diperuntukkan dalam peraturan ISTAF dan bukan dengan tindakan yang boleh mengganggu kelancaran perlawanan.
“Sebagai pemimpin sukan, terutamanya di peringkat penglibatan pergerakan antarabangsa dan Olimpik, mereka sepatutnya menunjukkan kepimpinan, ketenangan, profesionalisme, semangat kesukanan, dan rasa hormat terhadap autoriti pengadil dan pegawai pertandingan. Jika terdapat rasa tidak puas hati dengan keputusan pengadil, jalan yang sesuai di bawah peraturan ISTAF adalah melalui prosedur protes rasmi dan bukan melalui penolakan untuk meneruskan perlawanan,” katanya.
Insiden ketika final tersebut dianggap sensitif kerana kejohanan berkenaan berlangsung dalam skala antarabangsa dengan liputan siaran televisyen serta platform penstriman global yang mencapai jutaan penonton.
PSM menegaskan bahawa Piala Dunia ISTAF kali ini membawa nilai komersial dan reputasi yang besar kepada sukan sepak takraw selepas berjaya memperoleh sokongan penajaan utama selain penglibatan kerajaan, kementerian, syarikat korporat dan rakan komersial antarabangsa.
Dalam konteks itu, badan induk negara berpendapat sebarang gangguan terhadap perjalanan final boleh memberikan kesan negatif terhadap imej profesional kejohanan dan reputasi sepak takraw di mata antarabangsa.
Malaysia selaku tuan rumah turut memikul tanggungjawab besar sepanjang penganjuran kejohanan itu menerusi penyelarasan operasi pertandingan, penyediaan venue, pengurusan siaran antarabangsa serta penglibatan penajaan yang memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.
PSM turut memberi amaran bahawa tindakan enggan meneruskan permainan boleh menjejaskan keyakinan penonton, penyiar dan penaja selain memberi kesan terhadap potensi rundingan komersial masa depan bagi pembangunan sukan itu di peringkat global.
Dalam kenyataan sama, Abidullah turut menggesa ISTAF untuk menilai semula tindakan pegawai terbabit serta mempertimbangkan keperluan siasatan atau tindakan disiplin di bawah kerangka tadbir urus badan antarabangsa itu.
“Saya dengan segala hormatnya meminta ISTAF untuk menyemak semula tindakan dan penglibatan pegawai-pegawai yang berkenaan dan mempertimbangkan sama ada siasatan, penjelasan atau tindakan tatatertib lanjut diperlukan di bawah rangka kerja tatatertib dan tadbir urus ISTAF,” katanya.
Walaupun perlawanan akhir itu dicemari kontroversi, skuad negara kendalian Ahmad Jais Baharun tetap berjaya menamatkan saingan sebagai juara regu berpasukan untuk menghadiahkan gelaran kedua Malaysia dalam kejohanan tersebut selepas kejayaan dalam acara kuadran.
Kejayaan itu sekali lagi memperlihatkan ketahanan mental dan kemampuan pasukan negara mengharungi tekanan dalam suasana pertandingan yang mencabar sehingga wisel penamat.