Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mendapatkan semula khidmat tiga pemain warisan, João Figueiredo, Jon Irazabal dan Héctor Hevel apabila tempoh penggantungan mereka daripada perlawanan rasmi semakin menghampiri penghujungnya.
Perkembangan itu dijangka memberikan lebih banyak pilihan kepada ketua jurulatih Harimau Selatan, Xisco Muñoz untuk menyusun kesebelasan utama selepas ketiga-tiga pemain berkenaan terjejas akibat tindakan disiplin Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Figueiredo, Irazabal dan Hevel merupakan antara tujuh pemain yang dikenakan hukuman penggantungan 12 bulan berhubung kes pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan mewakili Malaysia.
Hukuman tersebut diumumkan pada September 2025 selepas Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh penggantungan, terdapat beberapa perkembangan undang-undang yang mempengaruhi status ketiga-tiga pemain berkenaan.
Pada Januari lalu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan hukuman, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk kembali menjalani aktiviti bola sepak dan beraksi bersama JDT.
Peluang tersebut bagaimanapun tidak berpanjangan apabila CAS pada 5 Mac mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan, tetapi mengehadkan larangan itu kepada perlawanan rasmi sahaja.
Keputusan tersebut membolehkan pemain meneruskan latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan.
Xisco sebelum ini menyambut baik kemungkinan mendapatkan semula khidmat ketiga-tiga pemain yang dianggap mampu memberikan tambahan kekuatan kepada pasukan.
“Kepulangan mereka sesuatu yang positif, mereka kembali dan sekarang kami perlu menguruskan mereka setelah sudah lama mereka tidak beraksi, kami perlu libatkan mereka dalam perlawanan.
“Sekarang mereka merupakan perkara yang terbaik yang berlaku ketika ini, memberikan banyak solusi dalam aksi akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan mengenai kepulangan pemain berkenaan.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu turut menekankan bahawa tempoh ketiadaan daripada perlawanan kompetitif memerlukan pemain diberikan perhatian khusus sebelum kembali beraksi secara konsisten.
Menurutnya, pengurusan kecergasan menjadi antara keutamaan kerana pemain perlu menyesuaikan diri semula dengan intensiti pertandingan selepas lama tidak mendapat minit permainan secara tetap.
“Sangat penting cara kami menguruskan mereka setelah lama tidak beraksi, cuba elak kecederaan,” katanya.
Dari sudut keperluan pasukan, kepulangan Figueiredo dijangka menambah pilihan di bahagian serangan, manakala Irazabal dan Hevel masing-masing menawarkan kekuatan di bahagian pertahanan serta tengah.
Bagaimanapun, kesediaan mereka untuk kembali diturunkan dalam perlawanan rasmi masih tertakluk kepada pengesahan tamat penggantungan dan kelayakan pertandingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini menjelaskan bahawa tamatnya tempoh penggantungan tidak secara automatik membolehkan tujuh pemain terbabit kembali mewakili Harimau Malaya.
Perkara tersebut melibatkan status kelayakan antarabangsa yang berasingan daripada penyertaan bersama kelab.
Bagi JDT, kepulangan ketiga-tiga pemain selepas dibenarkan beraksi secara rasmi kelak berpotensi memberikan tambahan pilihan penting kepada Xisco dalam usaha mengekalkan prestasi pasukan sepanjang musim ini.