sukan

Terbuka HYLO : Zii Jia demam, muntah

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendedahkan beliau terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat demam panas dan muntah sehari sebelum turun beraksi pada pusingan pertama Terbuka Hylo 2026 di Saarbrücken, Jerman, semalam.

Lebih mengejutkan, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu mengakui doktor turut menasihatkannya supaya menarik diri daripada pertandingan berikutan keadaan kesihatannya.

Bagaimanapun, Zii Jia yang menghuni ranking ke-42 dunia memilih untuk meneruskan perjuangan selepas bangun pada pagi perlawanan dan merasakan dirinya mampu beraksi.

Keputusan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menewaskan pemain Singapura, Jason Teh Jia Heng 21-16, 19-21, 21-17 dalam pertarungan tiga set selama 59 minit di Saarlandhalle.

Kemenangan itu membolehkan bekas juara Seluruh England berkenaan mengesahkan tempat ke pusingan kedua kejohanan berstatus Super 500.

Mengulas keadaan kesihatannya selepas perlawanan, Zii Jia mengakui melalui detik sukar sebelum turun menentang pemain ranking ke-33 dunia tersebut.

“Semalam saya pergi ke hospital kerana mengalami demam yang sangat teruk dan saya juga muntah.

“Doktor menasihatkan saya menarik diri, tetapi saya tidak mahu mengalah. Sebab itulah anda dapat melihat emosi saya sebentar tadi. Saya baru sahaja mengatasi sesuatu yang sangat sukar,” katanya ketika ditemu bual Badminton Europe.

Menurut Zii Jia, beliau sendiri tidak mengetahui punca sebenar masalah kesihatan yang dialaminya.

Malah, pemain kelahiran Kedah itu turut mendedahkan bahawa beliau hampir tidak makan sepanjang hari sebelumnya kerana kehilangan selera.

Keadaan tersebut menjadikan kemenangan ke atas Jason lebih bermakna buat pemain berusia 28 tahun itu yang sedang berusaha mendapatkan semula prestasi terbaik selepas melalui tempoh mencabar sepanjang musim ini.

Dalam aksi pembukaan, Zii Jia berjaya memperoleh kelebihan selepas memenangi set pertama 21-16.

Bagaimanapun, Jason memberikan tentangan sengit apabila bangkit untuk mencatat kemenangan 21-19 pada set kedua, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke set penentuan.

Zii Jia kemudian kembali mendapatkan kelebihan sebelum memastikan kemenangan 21-17 untuk menamatkan perjuangan wakil Singapura tersebut.

Sejurus mata kemenangan diperoleh, Zii Jia dilihat melepaskan jeritan kuat sebagai tanda kelegaan selepas berjaya mengatasi cabaran yang dihadapinya.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa reaksi tersebut berkait rapat dengan keadaan fizikalnya sebelum perlawanan, bukannya semata-mata kerana berjaya menewaskan Jason.

Kejayaan itu turut membolehkan Zii Jia membalas kekalahan kepada pemain Singapura berkenaan yang pernah menyingkirkannya pada pusingan pertama Terbuka Switzerland, Mac lalu.

Sebelum tiba di Jerman, Zii Jia menunjukkan perkembangan positif apabila mara ke separuh akhir Terbuka Artik di Finland awal bulan ini.

Kini, cabaran lebih besar menanti apabila beliau dijadualkan berdepan pilihan kelima dari Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan kedua, hari ini.

Naraoka yang menghuni ranking kesembilan dunia bakal menjadi ujian penting buat Zii Jia yang masih perlu memberikan perhatian terhadap tahap kecergasannya selepas mengalami masalah kesihatan sebelum kejohanan.

Kemenangan ke atas Jason memastikan peluang Zii Jia untuk meneruskan kemaraan masih terbuka, namun keadaan fizikalnya menjelang pertemuan menentang Naraoka akan menjadi antara perkara yang mendapat perhatian.