Skuad sepak takraw negara berjaya menamatkan kempen cemerlang di Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 dengan menjulang gelaran juara acara berpasukan selepas menewaskan Thailand pada aksi final di Stadium Titiwangsa, namun kemenangan itu tetap meninggalkan rasa kurang puas hati kepada ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun susulan kontroversi yang tercetus pada penghujung perlawanan.
Ahmad Jais mengakui beliau lebih gemar melihat penentuan juara dibuat sepenuhnya menerusi aksi kompetitif di dalam gelanggang dan bukannya berakhir dalam situasi yang mengundang pertikaian sehingga menyebabkan lawan meninggalkan gelanggang selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.
Menurut beliau, kemenangan yang diraih skuad negara tetap diterima dengan hati terbuka, namun secara peribadi beliau berasakan final tersebut sepatutnya diselesaikan menerusi baki mata yang masih berbaki ketika kedua-dua pasukan sedang berada dalam tekanan persaingan yang cukup sengit.
“Bagi saya secara peribadi, memang kita tidak berpuas hati dengan kemenangan sebegini. Namun dah rezeki pasukan kita untuk mencipta kejayaan dalam situasi sebegini dan kita terima keputusan ini,” kata Ahmad Jais.
Kontroversi tercetus ketika regu ketiga final berlangsung dalam suasana penuh dramatik apabila Thailand berada di depan dengan kedudukan 14-13 sebelum pengadil menghadiahkan mata kepada Malaysia selepas mendapati pemain lawan melakukan kesalahan apabila kaki melepasi garisan bawah jaring ketika melakukan libasan.
Situasi itu mencetuskan bantahan daripada kem Thailand yang mempertikaikan keputusan terbabit. Walaupun pengadil memberikan ruang dan masa untuk mereka kembali menyambung perlawanan, pasukan lawan akhirnya memilih untuk tidak meneruskan baki aksi final tersebut.
Ahmad Jais berkata, berdasarkan rakaman video yang diteliti, kesalahan dilakukan pemain Thailand sememangnya jelas dan keputusan pengadil sewajarnya dihormati oleh semua pihak tanpa mengira tekanan yang sedang berlaku ketika perlawanan berlangsung.
“Mungkin mereka tidak puas hati dengan keputusan pengadil. Namun kalau kita tengok daripada video rujukan, memang ternyata kaki pemain Thailand melepasi jaring bawah.
“Bagi saya apa yang berlaku itu semuanya keputusan pengadil dan kita perlu menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan yang telah dimuktamadkan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa pasukan Thailand sepatutnya meneruskan baki permainan sehingga tamat kerana final berkenaan masih terbuka dan sebarang kemungkinan masih boleh berlaku dalam situasi tekanan tinggi di pentas akhir kejohanan besar.
Menurutnya, sikap profesional amat penting dalam situasi seperti itu kerana keputusan pengadil adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pasukan sepanjang pertandingan berlangsung.
“Pengadil sudah memberikan masa untuk mereka kembali ke gelanggang, namun mereka memilih untuk tidak meneruskan perlawanan.
“Bagi saya mereka perlu bersikap profesional untuk meneruskan perlawanan pada baki beberapa mata lagi,” tambahnya.
Ahmad Jais tidak menafikan insiden berkenaan sedikit sebanyak menyebabkan kemenangan Malaysia tidak dapat diraikan dengan kepuasan sepenuhnya kerana perlawanan masih berada dalam keadaan seimbang dan tekanan terhadap kedua-dua pasukan ketika itu cukup tinggi.
Beliau mengakui peluang untuk menentukan juara secara mutlak di gelanggang masih terbuka dan skuad negara juga berdepan cabaran besar sekiranya perlawanan diteruskan sehingga mata penamat.
“Sebenarnya peluang untuk perlawanan itu masih terbuka dan sekiranya insiden itu tidak berlaku, pasukan negara akan berdepan cabaran yang besar.
“Belum tentu kita boleh menjadi juara pada malam itu, tetapi apa yang dilakukan pasukan Thailand akhirnya menjadi kerugian kepada mereka,” katanya.
Walaupun final tersebut dicemari kontroversi, Ahmad Jais tetap memberikan pujian kepada komitmen serta disiplin tinggi dipamerkan pemain negara sepanjang kejohanan berlangsung. Beliau menyifatkan kejayaan merangkul dua gelaran utama iaitu acara kuadran dan acara berpasukan sebagai bukti kerja keras skuad kebangsaan sepanjang persiapan dan pertandingan.
Katanya, pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam setiap aksi dan kejayaan tersebut wajar diraikan selepas melalui cabaran getir untuk mempertahankan konsistensi permainan di pentas antarabangsa.
“Kita perlu meraikan pemain-pemain yang sudah berusaha bersungguh-sungguh, berlatih dengan penuh komitmen dan menunjukkan semangat juang yang tinggi.
“Alhamdulillah, kita berjaya menunaikan tugas sebagai juara acara kuadran dan juga acara berpasukan pada edisi kali ini,” katanya.
Kejayaan itu sekali lagi memperlihatkan kemampuan skuad negara mengekalkan tahap persaingan tinggi dalam acara sepak takraw antarabangsa, terutama ketika berdepan tekanan daripada Thailand yang terkenal dengan kekuatan tradisi dalam sukan berkenaan. Walaupun penamat final tidak berlaku seperti diharapkan, kemenangan tersebut tetap mengangkat Malaysia sebagai juara pada edisi kali ini.