sukan

Terbuka HYLO : Kejutan Besar beregu pilihan tumbang awal

Reputasi sebagai bekas juara Terbuka Australia serta naib juara Terbuka Indonesia 2026 gagal membantu beregu lelaki Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, apabila mereka tersingkir secara mengejut pada pusingan kedua Terbuka HYLO 2026.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu menerima tamparan selepas tunduk kepada beregu bukan pilihan Denmark, William Kryger Boe-Rasmus Espersen, dengan keputusan 14-21, 19-21 dalam aksi yang berlangsung selama 35 minit di Saarlandhalle, Saarbrücken, Jerman.

Raymond-Joaquin yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan sebelum ini hadir dengan rekod membanggakan berdasarkan kejayaan mereka dalam beberapa pertandingan utama di bawah kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Antara pencapaian terbesar mereka ialah kejayaan muncul juara Terbuka Australia 2025 selepas menewaskan pasangan berpengalaman Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, dalam pertarungan sengit tiga set.

Kemenangan 22-20, 10-21, 21-18 pada perlawanan akhir tersebut membolehkan Raymond-Joaquin meraih gelaran Super 500, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara gandingan muda yang semakin menyerlah.

Mereka turut mencatat beberapa pencapaian penting pada musim ini apabila mara ke final Indonesia Masters 2026 dan Terbuka Indonesia 2026.

Bagaimanapun, kedua-dua penampilan di pentas final itu berakhir dengan keputusan naib juara selepas mereka tewas kepada beregu Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.

Pada saingan All England 2026 pula, Raymond-Joaquin berjaya mengejutkan pasangan pilihan ketiga China, Liang Wei Keng-Wang Chang, di suku akhir sebelum perjalanan mereka dihentikan beregu utama Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, pada separuh akhir.

Kecemerlangan itu diteruskan pada Terbuka Perancis minggu lalu apabila pasangan Indonesia tersebut sekali lagi melangkah ke kelompok empat terbaik.

Namun, mereka gagal menempah tempat ke final selepas tewas kepada pasangan Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, dengan keputusan 16-21, 15-21.

Pencapaian tersebut memperlihatkan kemampuan Raymond-Joaquin memberikan saingan kepada pasangan utama dunia, sekali gus menjadikan kekalahan awal mereka di Terbuka HYLO sesuatu yang di luar jangkaan berdasarkan rekod terdahulu.

Dalam pertemuan menentang Boe-Espersen, pasangan Indonesia gagal mendapatkan permulaan yang diperlukan apabila ketinggalan 1-7 pada set pertama.

Pasangan Denmark kemudian mendahului 11-5 ketika interval sebelum menamatkan set tersebut dengan kemenangan 21-14.

Raymond-Joaquin cuba memperbaiki persembahan pada set kedua, namun sekali lagi terpaksa mengejar apabila Boe-Espersen memperoleh kelebihan 6-2 pada awal permainan.

Meskipun berjaya mengurangkan jurang kepada 9-11 ketika interval, pasangan Indonesia itu kembali ketinggalan 13-17 selepas lawan meneruskan penguasaan.

Mereka kemudian bangkit memberikan tentangan dengan merapatkan kedudukan kepada 18-19, namun gagal memanfaatkan peluang untuk mengubah keputusan.

Boe-Espersen memastikan kemenangan 21-19 untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir, sekali gus menamatkan cabaran pasangan pilihan keempat tersebut.

Keputusan berkenaan turut menyusul selepas satu lagi beregu pilihan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, tewas kepada Aaron Tai-Yap Roy King dari Malaysia.

Dengan tersingkirnya kedua-dua pasangan tersebut, Indonesia tidak lagi mempunyai wakil dalam kategori beregu lelaki pada peringkat suku akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu.