sukan

Tambahan Masa Dua Minit Jadi Tujuh Minit, FIFA Masih buntu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menunggu penjelasan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kontroversi perubahan masa tambahan ketika perlawanan Indonesia menentang Bangladesh dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026, awal bulan ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa badan induk bola sepak negara itu belum menerima sebarang maklum balas daripada FIFA meskipun bantahan berhubung insiden berkenaan sudah dikemukakan.

Menurut beliau, FAM akan mengambil tindakan susulan bagi mendapatkan jawapan mengenai perubahan tempoh masa tambahan yang mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati bola sepak.

“Kita ada hantar bantahan tapi maklum balas sampai sekarang kita tak dapat lagi.

“Namun, kita akan mendapatkan jawapan susulan dengan FIFA berhubung perkara ini,” katanya.

Kontroversi berkenaan tercetus ketika perlawanan Indonesia menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 1 Oktober lalu.

Dalam perlawanan tersebut, papan tanda yang diangkat pegawai perlawanan pada awalnya menunjukkan tempoh masa tambahan selama dua minit, selaras dengan paparan yang disiarkan menerusi televisyen.

Bagaimanapun, tempoh berkenaan kemudiannya berubah kepada tujuh minit selepas Bangladesh menghasilkan jaringan kedua, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keputusan menambah masa permainan.

Indonesia mengambil kesempatan dalam tempoh tambahan itu apabila Kevin Diks menjaringkan gol pada minit ke-90+6 sebelum Mitchell Baker menambah satu lagi jaringan seminit kemudian.

Dua gol pada penghujung perlawanan tersebut membolehkan Indonesia menamatkan aksi dengan kemenangan besar 9-2, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pentas final kejohanan berkenaan.

Keputusan itu turut memberikan kesan kepada Malaysia yang sebelum itu mencatat kemenangan 6-0 ke atas Singapura dalam satu lagi perlawanan terakhir Kumpulan A.

Walaupun kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata dan mempunyai perbezaan jaringan sama, Indonesia memperoleh kelebihan berdasarkan jumlah gol yang dijaringkan sepanjang saingan kumpulan.

Susulan kejadian tersebut, FAM mengeluarkan kenyataan pada 2 Oktober lalu bagi mendapatkan penjelasan daripada FIFA mengenai asas, prosedur serta keadaan yang menyebabkan tempoh masa tambahan berubah.

Badan induk itu turut meminta FIFA meneliti keputusan pegawai perlawanan dan memastikan sama ada perubahan berkenaan dibuat mengikut peraturan pertandingan yang berkuat kuasa.

FAM pada masa sama menjelaskan bahawa tindakan mendapatkan penjelasan bukan bertujuan mempertikaikan keputusan perlawanan atau pencapaian mana-mana pasukan.

Sebaliknya, perkara berkenaan melibatkan keperluan memastikan pengurusan masa pertandingan dilaksanakan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Setakat 30 Oktober, belum ada penjelasan rasmi FIFA yang diterima FAM mengenai insiden tersebut, dengan badan induk bola sepak negara itu berhasrat meneruskan tindakan susulan bagi mendapatkan jawapan.