sukan

Terbuka Perancis : Pearly-Thinaah mula langkah kanan

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, meneruskan momentum cemerlang selepas menjuarai Terbuka Denmark apabila membuka kempen Terbuka Perancis 2026 dengan kemenangan straight set di Arena Grand Paris, semalam.

Pasangan ranking keempat dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk menewaskan wakil Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci, 21-11, 21-15 dalam aksi pusingan pertama.

Pearly-Thinaah yang turun selaku pilihan kedua kejohanan jelas masih membawa keyakinan daripada kejayaan di Odense, Ahad lalu, apabila menguasai permainan sejak awal dan tidak memberikan banyak ruang kepada lawan untuk membina rentak.

Set pertama menyaksikan pasangan negara tampil dominan sebelum menutup permainan 21-11.

Ercetin-Inci cuba memberikan tentangan lebih baik pada set kedua, namun Pearly-Thinaah kekal tenang untuk menamatkan perlawanan 21-15.

Kemenangan tersebut meneruskan minggu positif buat pasangan negara selepas mereka baru sahaja menjulang gelaran Super 750 Terbuka Denmark, kejuaraan pertama mereka sejak Januari.

Walaupun berpuas hati dengan prestasi pembukaan di Paris, Thinaah mengakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya.

“Kami bermain dengan baik, tetapi masih ada perkara yang perlu kami beri perhatian ketika berada di gelanggang.

“Buat masa ini, kami hanya mahu mendapatkan rehat dan pemulihan yang baik sebelum perlawanan esok,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan yang disiarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pearly pula berkata keadaan shuttle di venue baharu sedikit perlahan, namun menegaskan semua pemain berdepan situasi sama.

Cabaran Pearly-Thinaah selepas ini bakal menemukan mereka dengan rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, dalam pusingan 16 terbaik.

Pertembungan itu sekali gus memastikan Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai satu wakil dalam suku akhir kategori beregu wanita Terbuka Perancis.

Xin Yee-Carmen turut tampil meyakinkan dalam pusingan pembukaan apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Margot Lambert-Camille Pognante, 21-11, 21-12 dalam tempoh 37 minit.

Bagi Pearly-Thinaah, Terbuka Perancis mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Mereka mencipta sejarah pada 2022 apabila menjadi beregu wanita Malaysia pertama memenangi kejohanan tersebut.

Kejayaan itu menjadi antara titik penting dalam perjalanan karier mereka sebelum muncul sebagai salah satu pasangan terbaik dunia.

Kini, selepas kembali ke kelompok empat terbaik dunia susulan kejayaan di Denmark, Pearly-Thinaah sekali lagi memburu peluang mencipta kejayaan besar di Paris.

Namun, sebelum memikirkan gelaran kedua Terbuka Perancis, mereka terlebih dahulu perlu melepasi cabaran daripada pasangan muda negara sendiri.