Ketua jurulatih Kanchanaburi Power, Park Hang-seo, melancarkan kritikan keras terhadap mutu pengadilan selepas pasukannya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Muang Loei United dalam saingan Liga Thai 2.
Bekas pengendali Vietnam itu mempertikaikan tindakan pengadil, Rangsan Kangchainguan, yang membenarkan permainan diteruskan melebihi lima minit masa tambahan seperti diumumkan.
Kanchanaburi berada di ambang kemenangan selepas Patrick Marcelino membuka jaringan pada minit ke-75 dalam aksi ketujuh liga di Stadium Universiti Loei Rajabhat.
Namun, kelebihan itu musnah apabila Thiago Moreira menanduk masuk gol penyamaan pada minit keenam masa tambahan.
Perlawanan kemudian terus berlangsung sehingga minit kelapan masa tambahan sebelum wisel penamat dibunyikan sejurus Kanchanaburi mengambil sepakan percuma.
Situasi itu mencetuskan kemarahan Hang-seo.
Sebaik wisel penamat ditiup, beliau bergegas memasuki padang untuk bersemuka dengan Rangsan sebelum tindakannya dihalang pembantu jurulatihnya sendiri serta pengadil keempat.
Hang-seo kemudian menuju ke arah terowong stadium dan terus menyuarakan ketidakpuasan hatinya, termasuk terhadap penilai pengadil, Sakchai Paebua, serta Ketua Pegawai Eksekutif Muang Loei, Nattakorn Pattanachaikul.
Keadaan menjadi tegang sehingga pihak penganjur mengerahkan anggota polis bagi mengiringi pasukan pengadil dan menghalang jurulatih pelawat daripada menghampiri mereka.
Hang-seo menegaskan kemarahannya bukan semata-mata disebabkan dua mata yang terlepas.
“Saya bukan bercakap soal menang atau kalah, tetapi apabila pengadil bertindak sebegini, ia merosakkan segala-galanya.
“Segala titik peluh, kerja keras, semangat dan masa yang dilaburkan — semuanya sia-sia begitu sahaja.
“Saya boleh sahaja letak jawatan maka tamatlah ceritanya. Tetapi adakah begini cara anda menguruskan bola sepak? Ia tidak akan pernah berkembang dengan cara sebegini.
“Jika saya benar-benar meletak jawatan, saya akan meluahkan pandangan saya secara terbuka mengenai bola sepak Thailand.
“Pengadil perlu menjalankan tugas mereka dengan hati nurani yang bersih,” katanya.
Kritikan itu bukan kali pertama dilontarkan Hang-seo terhadap mutu pengadilan dalam saingan liga Thailand musim ini.
Pada September lalu, beliau turut mempersoalkan kredibiliti pengadil selepas pertemuan Kanchanaburi dengan Nakhon Pathom.
Bagaimanapun, pihak Muang Loei mempunyai pandangan berbeza.
Nattakorn menyifatkan beberapa tindakan Kanchanaburi sendiri turut menyumbang kepada masa yang terbuang sepanjang perlawanan.
“Pada pandangan saya, pihak Kanchanaburi sendiri turut melengahkan masa dalam beberapa situasi.
“Begitulah lumrah bola sepak. Mustahil untuk semua pihak mendapatkan apa yang mereka hajati apabila wisel penamat dibunyikan,” katanya menerusi media sosial.
Pertikaian itu kini meletakkan isu pengadilan Liga Thai 2 kembali menjadi perhatian, khususnya selepas Hang-seo secara terbuka mempersoalkan tahap profesionalisme pegawai perlawanan.