sukan

Bukan semua kontrak $100,000 tu saya akan dapat — Ridfean

Nilai kontrak AS$100,000 atau kira-kira RM413,719 bersama ONE Championship mungkin kelihatan lumayan, namun petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor, menjelaskan jumlah berkenaan bukan wang bersih yang akan diterimanya secara terus.

Rifdean sebelum ini mendedahkan kontrak berkenaan merangkumi enam pertarungan bersama organisasi sukan tempur berkenaan dan terdapat pelbagai komitmen kewangan yang perlu ditanggung sepanjang perjalanan sebagai seorang petarung profesional.

Menurutnya, sebahagian pendapatan perlu digunakan bagi menampung kos pengurusan, latihan serta pelbagai perbelanjaan lain yang berkaitan dengan persiapan pertandingan.

“Tidak semestinya jika kontrak yang saya dapat $100,000, saya akan dapat 100 peratus jumlah tersebut. Saya perlu berkongsi duit itu dengan banyak pihak lagi.

“Bayaran yang diberikan One Championship kepada para petarung agak lewat. Ini kerana mereka mahu mengelak daripada sebarang risiko seperti penarikan diri dan sebagainya,” katanya seperti yang tular di media sosial.

Penjelasan Rifdean memberikan gambaran bahawa angka besar pada sesebuah kontrak tidak semestinya mewakili pendapatan bersih yang dibawa pulang seorang atlet.

Bagi petarung profesional, persiapan untuk setiap perlawanan melibatkan pelbagai kos termasuk kem latihan, pengurusan, jurulatih, pasukan sokongan serta keperluan sepanjang tempoh pertandingan.

Isu berkenaan kembali mendapat perhatian selepas penampilan Rifdean di Jepun ketika berdepan Juara Dunia ONE Atomweight Muay Thai, Nadaka Yoshinari.

Rifdean gagal memenuhi syarat sebelum pertarungan sehingga tidak lagi layak memenangi tali pinggang dunia, sebelum aksi diteruskan dan berakhir dengan kekalahan kepada Nadaka menerusi KO.

Dalam tempoh sama, persediaan Rifdean turut menjadi perhatian selepas dia tidak ditemani pasukan gimnasium asal yang melatihnya.

Rifdean sebelum ini menjelaskan pasukan berkenaan tidak dapat mengiringinya ke Jepun akibat masalah teknikal dan dia kemudian mendapatkan bantuan beberapa rakannya sepanjang berada di sana.

Situasi itu turut mendapat teguran Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, yang mempersoalkan tahap persediaan profesional Rifdean menjelang sebuah pertarungan bertaraf kejuaraan dunia.

Chatri menekankan bahawa seorang petarung di tahap tertinggi perlu mempunyai persediaan lengkap termasuk pengurusan berat badan, pasukan sokongan dan pematuhan terhadap syarat pertandingan.

Apa yang berlaku kepada Rifdean akhirnya membuka satu lagi sisi kehidupan atlet profesional yang jarang dilihat.

Kontrak bernilai ratusan ribu ringgit mungkin kedengaran besar di atas kertas, tetapi jumlah sebenar yang tinggal selepas semua kos dan komitmen ditanggung boleh menjadi jauh lebih rendah.

Bagi Rifdean, pengalaman di Jepun bukan sahaja memberikan pengajaran dari sudut prestasi dan profesionalisme, tetapi turut menunjukkan bahawa perjalanan sebagai atlet elit menuntut pengurusan kewangan serta pasukan yang sama penting dengan kemampuan ketika berada di dalam gelanggang.