sukan

“Kami sudah menulis kepada kedutaan kita di Paris “

Belum reda tumpuan terhadap kejayaan pemain Malaysia di Terbuka Denmark, kem badminton negara kini tiba di Perancis untuk menghadapi cabaran berbeza apabila gelombang protes besar-besaran menjadi latar belakang menjelang Terbuka Perancis.

Kejohanan Super 750 itu dijadualkan membuka tirai esok di Arena Grand Paris, Tremblay-en-France, dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah awal bagi memastikan keselamatan pemain dan jurulatih negara.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, mengesahkan Kedutaan Malaysia di Paris sudah dimaklumkan mengenai kehadiran kontinjen badminton negara.

Senarai pemain dan jurulatih turut diserahkan kepada pihak kedutaan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami sudah menulis kepada kedutaan kita di Paris dan memaklumkan mereka mengenai nama pemain serta jurulatih yang terbabit dalam kejohanan ini.

“Kami berharap pihak kedutaan dapat membantu sekiranya berlaku apa-apa,” katanya.

Walaupun situasi keselamatan menjadi perhatian, tiada perubahan dibuat terhadap penyertaan Malaysia setakat ini.

Kenny mengesahkan tiada pemain menarik diri dan penganjur juga belum membatalkan kejohanan.

“Buat masa ini, tiada penarikan diri. Kejohanan juga belum dibatalkan,” katanya.

Antara pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ialah Pearly Tan-M. Thinaah yang tiba dengan keyakinan tinggi selepas menjuarai Terbuka Denmark.

Turut dijadualkan beraksi ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Aaron Tai-Yap Roy King, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Jun Hao.

Namun, fokus menjelang kejohanan bukan hanya tertumpu kepada aksi di gelanggang.

Perancis baru sahaja melalui hujung minggu penuh ketegangan apabila ratusan ribu penunjuk perasaan turun ke jalan raya susulan isu peningkatan kos sara hidup serta keadaan di sekolah.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, kira-kira 110,000 orang menyertai demonstrasi di Paris pada Sabtu lalu.

Seramai 855 individu dilaporkan ditahan di sekitar wilayah Paris.

Di peringkat nasional, kerajaan menganggarkan kira-kira 550,000 orang terbabit dalam demonstrasi berkenaan, sementara penganjur memberikan anggaran lebih tinggi iaitu 800,000.

Menjelang Ahad, jumlah keseluruhan tangkapan dilaporkan mencecah 2,400 orang dan hampir 1,000 anggota polis mengalami kecederaan.

Situasi tersebut menyebabkan BAM mengambil pendekatan lebih berhati-hati sepanjang pemain berada di Perancis.

Bagaimanapun, selagi tiada perubahan daripada penganjur atau arahan berkaitan keselamatan, skuad negara akan meneruskan persiapan untuk Terbuka Perancis seperti biasa.

Kejohanan dijadualkan berlangsung sehingga Ahad.

Selepas minggu penuh kejayaan di Denmark, pemain negara kini perlu mengalihkan sepenuhnya fokus kepada satu lagi kejohanan Super 750 — kali ini dengan keadaan di luar gelanggang turut menjadi perkara yang perlu diberikan perhatian.