sukan

Low Zi Yu-Genevie Lim jadi bualan hangat

Low Zi Yu terpaksa melalui tiga final untuk akhirnya menjadi juara dunia.

Genevie Lim pula hanya memerlukan satu penampilan untuk terus membawa pulang pingat emas.

Dua perjalanan berbeza itu akhirnya bertemu di Kaherah apabila Zi Yu-Genevie mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia memenangi Kejohanan Badminton Remaja Dunia.

Kemenangan itu menamatkan penantian 34 tahun negara untuk melihat pasangan beregu wanita berdiri sebagai juara dunia remaja.

Bagi Zi Yu, emas tersebut mempunyai nilai tersendiri selepas dua percubaan sebelumnya berakhir dengan kekecewaan.

Pada 2024, dia bergandingan dengan Dania Sofea dan muncul naib juara.

Tahun berikutnya, Zi Yu kembali ke final bersama Noraqilah Maisarah tetapi sekali lagi membawa pulang pingat perak.

Justeru apabila pasangan Jepun memberikan tekanan dalam final 2026, bayangan satu lagi pingat perak sempat muncul dalam fikirannya.

“Saya rasa tekanan itu terus hilang, ketika itu Jepun sudah kejar banyak mata buatkan saya tertekan kerana akan dapat perak, tetapi naib menyebelahi untuk dapat emas,” katanya.

Kali ini, Zi Yu tidak perlu menanggung kekecewaan sama.

Percubaan ketiga akhirnya menghasilkan gelaran dunia.

Bagi Genevie pula, pengalaman di Kaherah hampir sempurna.

Dia memasuki Kejohanan Dunia Remaja buat kali pertama dan terus keluar sebagai juara.

“Ini pencapaian terbaik saya dalam debut pertama, terima kasih gandingan saya banyak membantu dalam gelanggang,” katanya.

Namun kedua-duanya sedar kejayaan di peringkat remaja tidak menjamin perjalanan mudah apabila memasuki persaingan senior.

Zi Yu sendiri mengakui gandingan mereka masih belum mencapai tahap diperlukan untuk mencabar beregu senior terbaik dunia secara konsisten.

“Saya rasa kemampuan gandingan kami ini belum ke tahap senior lagi, mungkin boleh lawan tetapi jika menang belum cukup, perlu berlatih lagi,” katanya.

Jurulatih Amelia Anscelly turut melihat perkara sama.

Bagi beliau, keutamaan selepas ini ialah memastikan transisi pemain muda negara dilakukan secara teratur supaya potensi besar yang ditunjukkan di peringkat remaja tidak terhenti.

Amelia khususnya memberikan penilaian tinggi terhadap Zi Yu yang disifatkannya mempunyai kematangan luar biasa.

“Dia pemain yang luar biasa, kami perlu jaga dia. Saya tidak boleh katakan lebih, keputusan sudah tunjukkan.

“Dia sangat berbeza, kefahaman dia lebih cepat dan matang. Fizikal juga lebih sesuai untuk tahap ini,” katanya.

Sasaran jangka panjang Zi Yu-Genevie kini semakin besar apabila peluang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 mula menjadi perhatian.

Namun, jalan ke sana masih panjang.

Mereka perlu melalui transisi ke skuad senior, menyesuaikan diri dengan intensiti lebih tinggi dan membuktikan kemampuan dalam saingan antarabangsa yang jauh lebih kompetitif.

Apa yang sudah mereka capai di Kaherah memberikan asas terbaik.

Zi Yu membawa pengalaman tiga final berturut-turut.

Genevie membawa keyakinan selepas terus bergelar juara dalam penampilan pertama.

Kini kedua-duanya mempunyai tugas baharu — memastikan gelaran dunia remaja bukan kemuncak, tetapi langkah pertama menuju pencapaian lebih besar bersama badminton Malaysia.