sukan

Bos Chatri sah tutup pintu buat Rifdean

KETUA Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, menggunakan nama Jonathan Haggerty dan Yoshinari Nadaka sebagai contoh standard profesionalisme yang mahu dilihat organisasinya selepas mengkritik persiapan petarung Malaysia, Rifdean Masdor.

Chatri secara terbuka mempersoalkan cara Rifdean mengendalikan minggu pertarungannya di Tokyo selepas mendapat tahu petarung negara itu didakwa hadir tanpa pasukan sokongan lengkap sebelum mencabar Nadaka di ONE Samurai 4.

Menurutnya, Rifdean tidak membawa jurulatih, rakan sepasukan mahupun cornerman yang sepatutnya memainkan peranan penting sepanjang persediaan menjelang sebuah pertarungan gelaran dunia.

“Dalam kes Rifdean, saya juga mendapat tahu bahawa persiapannya langsung tidak profesional. Dia datang tanpa cornerman, tanpa rakan sepasukan dan tanpa sesiapa pun untuk memantaunya sepanjang minggu pertarungan. Tiada jurulatih, langsung tiada sesiapa.

“Saya sangat terkejut apabila mendengar perkara itu,” katanya.

Chatri kemudian menjadikan Haggerty dan Nadaka sebagai contoh apabila menjelaskan standard yang sepatutnya dipenuhi petarung di peringkat tertinggi.

Menurutnya, kedua-dua juara berkenaan sentiasa datang dengan persiapan lengkap selain memastikan semua keperluan pertandingan dipenuhi.

Bagi Chatri, perkara itu menjadi lebih penting apabila seseorang diberikan peluang bertarung untuk tali pinggang dunia.

Rifdean sepatutnya mencabar Nadaka bagi gelaran dunia Muay Thai atomweight ONE Championship, namun peluangnya untuk merampas tali pinggang sudah terjejas sebelum aksi bermula.

Petarung negara gagal memenuhi had berat badan dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus menyebabkan dia tidak layak menjadi juara meskipun pertarungan tetap diteruskan.

Di dalam gelanggang, Rifdean akhirnya tewas menerusi TKO pada minit pertama pusingan kedua selepas tendangan kiri Nadaka mengenai bahagian leher dan kepala.

Bagaimanapun, isu tidak berhenti selepas keputusan pertarungan.

Chatri mendakwa Rifdean meminta satu lagi peluang perebutan gelaran sejurus selepas kekalahan tersebut.

Permintaan itu ternyata tidak mendapat sambutan positif.

“Peluangnya langsung tiada! Zero! Anda perlu bersikap profesional,” kata Chatri.

Nada keras tersebut memberikan gambaran bahawa Rifdean perlu melalui jalan lebih panjang sebelum kembali dipertimbangkan sebagai pencabar gelaran.

Bagi ONE Championship, kejayaan seorang petarung bukan sahaja dinilai daripada keberanian di dalam gelanggang.

Keupayaan memenuhi semua syarat pertandingan serta menguruskan persiapan secara profesional turut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab seorang atlet.

Rifdean sudah mendapat peluang terbesar dalam kariernya ketika dipilih mencabar Nadaka.

Namun, apa yang berlaku di Tokyo menyebabkan perhatian selepas pertarungan lebih banyak tertumpu kepada isu persiapan berbanding prestasinya.

Kini, sekiranya mahu kembali ke pentas kejuaraan, Rifdean perlu membina semula laluan tersebut.

Dan berdasarkan kenyataan Chatri, satu perkara menjadi sangat jelas — tiada jalan pintas untuk satu lagi peluang merebut tali pinggang dunia.