sukan

TERKINI : Beregu Nombor 1 Dunia ‘tumbang’ di Final Terbuka Denmark 2026

ODENSE: Pasangan beregu campuran nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, gagal mempertahankan penguasaan mereka di Terbuka Denmark apabila tumbang kepada rakan senegara, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, dalam final penuh dramatik hari ini.

Pertembungan sesama China di SJF Bank Arena itu menyaksikan Jiang-Wei yang turun sebagai pilihan kedua kejohanan bangkit daripada kekalahan besar pada set kedua sebelum mencatat kemenangan 21-18, 8-21, 21-16.

Keputusan tersebut menyaksikan Feng-Huang yang merupakan pilihan utama terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas pertarungan tiga set.

Jiang-Wei memulakan perlawanan dengan lebih meyakinkan apabila berjaya mengambil set pertama 21-18.

Namun, status Feng-Huang sebagai pasangan nombor satu dunia jelas terserlah pada set kedua.

Mereka meningkatkan tekanan dan mendominasi permainan sehingga Jiang-Wei hanya mampu mengutip lapan mata.

Kemenangan besar 21-8 memberikan gambaran bahawa momentum sudah beralih sepenuhnya kepada Feng-Huang menjelang set penentuan.

Bagaimanapun, Jiang-Wei tidak membenarkan keadaan itu menjejaskan permainan mereka.

Pasangan pilihan kedua kembali menyusun permainan pada set ketiga dan berjaya mendapatkan semula kawalan sebelum menutup pertarungan 21-16.

Kemenangan tersebut cukup bermakna kerana final kali ini merupakan ulangan pertemuan kedua-dua pasangan di pentas sama tahun lalu.

Pada final Terbuka Denmark 2025, Feng-Huang menewaskan Jiang-Wei secara straight set 21-13, 21-9 untuk menjulang kejuaraan. Pasangan nombor satu dunia itu sebelum aksi hari ini turut memburu gelaran Denmark keempat mereka dalam lima penampilan final.

Namun, skrip berbeza tercipta kali ini.

Jiang-Wei berjaya membalas kekalahan tersebut dan pada masa sama meneruskan momentum hebat sepanjang jelajah Eropah.

Mereka tiba di Denmark dengan status juara Terbuka Artik 2026 selepas menewaskan Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 21-18, 21-16 pada final di Finland minggu lalu.

Laluan kedua-dua pasangan ke final juga bukan mudah.

Feng-Huang menyingkirkan wakil Malaysia, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, 21-13, 21-13 dalam tempoh 36 minit pada separuh akhir.

Jiang-Wei pula terpaksa bangkit selepas kehilangan set pertama untuk menewaskan Cheng Xing-Zhang Chi 17-21, 21-12, 21-13 dalam pertarungan 55 minit.

Di final, pertembungan dua pasangan terbaik China akhirnya menjadi milik Jiang-Wei.

Mereka mungkin dibelasah 8-21 pada set kedua, tetapi kemampuan bangkit pada set penentuan menjadi pemisah.

Bagi Feng-Huang, kekalahan itu menamatkan usaha mereka mempertahankan dominasi di Odense.

Sebaliknya, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menutup dua minggu cemerlang dengan dua gelaran berturut-turut — Terbuka Artik dan kini Terbuka Denmark 2026.