sukan

TERKINI : Rifdean Akhirnya buka mulut perjelas Apa sebenar berlaku di Jepun

Rifdean Masdor akhirnya tampil memberikan penjelasan selepas menerima teguran keras daripada Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, berhubung tahap persiapannya menjelang ONE SAMURAI 4 di Tokyo.

Petarung Muay Thai negara itu turut memohon maaf kepada Chatri sekiranya situasi yang berlaku sepanjang minggu pertarungan menimbulkan tanggapan bahawa dia tidak profesional atau tidak memberikan komitmen sepenuhnya.

Menurut Rifdean, dia sebenarnya membuat persiapan intensif di sebuah gimnasium di Thailand sebelum bertemu juara dunia Jepun, Yoshinari Nadaka.

Namun, pasukan gimnasium terbabit tidak dapat mengiringinya ke Jepun selepas berdepan beberapa masalah teknikal.

“Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah teknikal yang tiada kaitan dengan kewangan, pasukan gimnasium itu tidak dapat mengiringi saya ke Jepun, jadi saya membawa beberapa rakan untuk membantu sepanjang kejohanan.

“Memandangkan mereka kurang pengalaman mengendalikan pertarungan profesional di pentas ONE Championship, saya memilih untuk tidak menghuraikan keadaan sebenar ketika sidang media,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Situasi itu menyebabkan wujud tanggapan bahawa Rifdean hadir ke Tokyo bersendirian tanpa jurulatih atau pasukan profesional.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Chatri selepas Rifdean gagal melepasi ujian hidrasi sebelum perebutan gelaran dunia Muay Thai ONE kategori atomweight.

Bos ONE itu secara terbuka menyatakan rasa terkejut selepas dimaklumkan mengenai persiapan Rifdean.

“Saya dimaklumkan persiapan Rifdean langsung tidak profesional kerana dia datang tanpa cornerman, rakan sepasukan atau sesiapa yang memantaunya sepanjang minggu pertarungan, malah tanpa jurulatih, dan saya sangat terkejut mendengarnya.

“Petarung seperti Jonathan Haggerty dan Nadaka sentiasa membuat persiapan lengkap serta tidak pernah gagal memenuhi keperluan berkenaan. Itulah standard profesionalisme yang kami mahukan,” kata Chatri.

Rifdean bagaimanapun menegaskan dia tidak pernah mengambil ringan peluang berdepan seorang juara dunia.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya memberikan komitmen dan usaha 100 peratus untuk membuat persiapan menghadapi seorang juara dunia. Saya berjanji perkara seperti ini tidak akan berulang dalam pertarungan saya pada masa hadapan,” katanya.

Rifdean turut memohon maaf atas kenyataan terdahulu yang boleh memberikan gambaran bahawa dia hadir tanpa pasukan atau jurulatih sepanjang pertarungan tersebut.

Selepas tewas kepada Nadaka, Rifdean turut meminta peluang rematch dan satu lagi peluang merebut tali pinggang.

Namun, Chatri tidak memberikan respons positif terhadap permintaan itu.

Malah, bos ONE itu memberikan jawapan cukup tegas apabila ditanya mengenai kemungkinan Rifdean kembali mendapat peluang kejuaraan dalam masa terdekat.

“Rifdean meminta peluang merebut gelaran sejurus selepas pertarungan itu, walaupun baru sahaja tewas menerusi TKO, dan dia mahu pertarungan ulangan serta peluang merebut gelaran. Peluangnya sifar, dia perlu bersikap profesional,” katanya.

Kenyataan tersebut memberikan gambaran jelas bahawa Rifdean perlu membina semula keyakinan pihak pengurusan ONE sekiranya mahu kembali mendapat peluang bertarung untuk gelaran dunia.

Namun, penjelasan Rifdean kali ini turut memberikan sisi berbeza terhadap apa yang sebenarnya berlaku.

Dia bukan tidak mempunyai persiapan langsung, sebaliknya pasukan yang membantunya sepanjang kem latihan di Thailand tidak dapat bersama ke Jepun kerana masalah teknikal.

Rifdean kini mengakui apa yang berlaku sebagai satu pengajaran besar.

Selepas teguran terbuka daripada Chatri, mesej petarung negara itu juga cukup jelas — dia menerima kritikan berkenaan, memohon maaf dan berjanji kesilapan yang berlaku di Tokyo tidak akan berulang lagi.