Pemain beregu negara, Teoh Mei Xing, mengambil keputusan menamatkan karier profesionalnya selepas 10 tahun menabur bakti bersama skuad badminton negara.
Pemain berusia 29 tahun itu mengumumkan persaraan selepas penampilan terakhirnya pada Malaysian Super 100 di Johor minggu ini, sekali gus menutup satu perjalanan panjang yang penuh dengan pelbagai cabaran dan perubahan pasangan.
Mei Xing mengakui penamat tersebut bukanlah seperti yang diimpikannya.
Dia berharap dapat menutup karier dengan satu kejuaraan di laman sendiri, namun hasrat itu tidak kesampaian selepas tersingkir seawal pusingan pertama.
Mei Xing yang bergandingan dengan Tan Zhi Yang tewas kepada pasangan Korea Selatan, Jin Sung-ik-Lee Seung-hee, sekali gus menamatkan cabarannya dalam kejohanan terakhir sebagai pemain profesional.
Walaupun sedikit kecewa, Mei Xing memilih untuk melihat keseluruhan perjalanan kariernya dengan rasa syukur.
“Saya bersyukur kerana penampilan terakhir saya adalah di Malaysia, namun sedikit kecewa kerana tidak berjaya bergelar juara sebelum menamatkan karier badminton.
“Namun, itu bukanlah perkara besar. Saya bukan pemain yang memenangi banyak kejuaraan utama, tetapi saya tidak menyesal dengan segala usaha yang telah dicurahkan sepanjang karier badminton saya.
“Tidak mengapa jika anda tidak mengenali saya. Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan dan berada di sisi saya, walaupun ketika saya melalui pelbagai detik sukar. Saya sangat bertuah kerana mempunyai anda semua,” katanya menerusi Instagram.
Sepanjang kariernya, perjalanan Mei Xing bukan sesuatu yang mudah.
Dia berdepan situasi sering bertukar pasangan, menyebabkan proses membina keserasian dan kestabilan di gelanggang perlu dilakukan berulang kali.
Antara gandingan paling berjaya dalam kariernya hadir ketika bergandingan dengan Anna Cheong.
Mei Xing-Anna berjaya meraih gelaran Terbuka Czech pada 2021 sebelum menambah satu lagi kejuaraan menerusi Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi pada tahun sama.
Prestasi konsisten pasangan itu turut membawa mereka sehingga ke ranking ke-17 dunia.
Bagaimanapun, momentum tersebut tidak dapat diteruskan apabila Anna terpaksa berehat selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Situasi itu sekali lagi memaksa Mei Xing menyesuaikan diri dengan pasangan lain dalam usahanya meneruskan karier.
Kini, selepas sedekad bersama skuad negara, Mei Xing memilih untuk menutup lembaran sebagai pemain kompetitif.
Walaupun tidak dapat mengakhiri karier dengan trofi seperti yang diharapkan, Mei Xing meninggalkan gelanggang tanpa penyesalan.
Baginya, usaha selama 10 tahun, sokongan daripada individu di sekeliling serta pengalaman melalui pelbagai cabaran menjadi sebahagian daripada perjalanan yang tidak akan dilupakan.