sukan

Terbuka Denmark : Malang menimpa Wei Chong-Kai Wun setelah kembali bergabung

Kepulangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun sebagai pasangan tetap dalam Jelajah Dunia tidak bermula seperti diharapkan apabila beregu lelaki negara itu tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark 2026 di Odense.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu kalah straight set 16-21, 20-22 kepada gandingan tuan rumah, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, dalam tempoh 38 minit.

Keputusan tersebut pastinya mengecewakan buat Wei Chong-Kai Wun yang pernah berada setinggi ranking keempat dunia tahun lalu.

Lebih mengecewakan, mereka sebelum ini pernah menewaskan pasangan Denmark berkenaan dengan keputusan lebih meyakinkan 21-11, 21-16 ketika Terbuka Australia tahun lalu.

Namun, pertemuan kali ini membawa keputusan berbeza apabila Kjaer-Kjaer yang berada di ranking ke-28 dunia berjaya mengekalkan kelebihan untuk menyingkirkan wakil Malaysia.

Wei Chong-Kai Wun sebelum ini dipisahkan sementara sebagai sebahagian daripada eksperimen gandingan yang dilakukan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.

Percaturan itu menyaksikan beberapa kombinasi baharu diuji dalam usaha mencari pilihan terbaik menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menariknya, kedua-dua pemain sebenarnya menghasilkan keputusan positif bersama pasangan sementara masing-masing.

Kai Wun bergandingan dengan Yap Roy King dan kombinasi tersebut muncul juara Masters Korea pada Ogos sebelum mara sehingga separuh akhir Masters China sebulan kemudian.

Wei Chong pula digandingkan bersama Soh Wooi Yik dan mara sehingga final Masters Korea.

Lebih menarik, Wei Chong-Wooi Yik tewas pada final berkenaan kepada Kai Wun-Roy King.

Wei Chong-Kai Wun sempat kembali digandingkan pada Kejohanan Dunia di New Delhi pada Ogos lalu dan berjaya mara sehingga pusingan 16.

Bagaimanapun, Terbuka Denmark menjadi penampilan terbaru mereka selepas keputusan untuk kembali bersama, dan kekalahan awal ini menunjukkan mereka masih memerlukan masa untuk mendapatkan semula keserasian lama.

Sebelum eksperimen pertukaran pasangan, Wei Chong-Kai Wun sebenarnya menunjukkan tahap konsistensi yang baik apabila mara ke suku akhir Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan All England pada awal musim ini.

Mereka kini perlu mencari tindak balas pada Terbuka Perancis minggu depan, satu lagi kejohanan Super 750.

Nasib berbeza dialami Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut kembali sebagai pasangan tetap selepas eksperimen sama.

Aaron-Soh memulakan semula perjalanan mereka dengan kemenangan tiga set ke atas juara bertahan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Sementara itu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menewaskan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-14, 21-11 dalam masa 27 minit.

Chia Wei Jie-Teo Ee Yi pula menundukkan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan 21-16, 21-15 dan akan berdepan Sze Fei-Izzuddin pada pusingan kedua.

Dalam perseorangan wanita, Wong Ling Ching memberikan tentangan sengit sebelum tewas 21-19, 11-21, 19-21 kepada Riko Gunji dari Jepun dalam masa 67 minit.

Kekalahan tersebut menjadi yang ketiga berturut-turut buat Ling Ching dalam tiga pertemuan menentang pemain Jepun itu.