Tidak mengambil masa lama buat pertahanan warisan negara, Brad Tapp, mengenal pasti pemain yang menonjol dalam skuad Harimau Malaya apabila menyifatkan Arif Aiman Hanapi sebagai antara ‘superstar’ pasukan.
Tapp yang baru menyertai skuad kebangsaan berkata, Arif sememangnya antara pemain yang mendapat perhatian berdasarkan kualiti yang dimilikinya, namun beliau menegaskan kekuatan Harimau Malaya tidak hanya bergantung kepada seorang individu.
Menurutnya, ramai pemain lain turut memberikan sumbangan besar sepanjang kempen Piala ASEAN FIFA 2026 walaupun tidak menerima perhatian sama.
“Ya, mereka adalah superstar, ramai daripada pemain ini. Ada ramai pemain yang mendapat perhatian seperti Arif dan dia memang berkualiti, tetapi ada juga ramai pemain yang tidak mendapat perhatian yang sepatutnya walaupun mereka sudah memberikan begitu banyak usaha sepanjang minggu lalu.
“Seluruh pasukan terus memberikan komitmen. Saya fikir kami menjaringkan sembilan gol dalam peringkat kumpulan dan tidak dibolosi, jadi ia bukan hanya mengenai serangan, tetapi juga pertahanan.
“Semua pemain secara kolektif sudah melakukan tugas yang hebat setakat ini,” katanya.
Pandangan Tapp itu hadir selepas Harimau Malaya melalui kempen kumpulan dengan sembilan jaringan tanpa dibolosi, satu rekod yang menurutnya mencerminkan keseimbangan pasukan dari bahagian serangan hingga pertahanan.
Selain mengakui kualiti Arif, Tapp turut melihat tahap komitmen keseluruhan skuad sebagai faktor yang membolehkannya cepat menyesuaikan diri dengan pasukan negara.
Pemain pertahanan itu berkata pengalaman awal bersama Harimau Malaya meninggalkan kesan positif dan memberinya keyakinan bahawa pasukan mempunyai potensi untuk mencapai tahap lebih tinggi.
“Satu penghormatan untuk berada di sini dan saya amat bersyukur dapat berada di sini. Semua orang sangat menyambut baik.
“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya fikir kami sudah menunjukkannya dalam kejohanan ini. Tetapi saya tahu kami boleh pergi lebih jauh dan mampu melakukan lebih banyak lagi,” katanya.
Tapp turut melihat gabungan pemain muda dan muka baharu sebagai asas penting kepada pembentukan skuad negara untuk masa depan.
“Kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik. Kami mempunyai ramai pemain muda seperti Arif Aiman, ramai pemain seperti saya yang baru sahaja menyertai pasukan.
“Jadi kami adalah pasukan yang segar, tetapi tidak kira kejohanan atau perlawanan apa pun, kami sentiasa akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Selepas kempen Piala ASEAN FIFA 2026, Harimau Malaya akan kembali diuji menerusi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China bulan depan.
Dua perlawanan itu bakal menjadi satu lagi pentas untuk Tapp dan rakan sepasukan meneruskan perkembangan pasukan selepas membina asas positif sepanjang kejohanan kali ini.