sukan

Malaysia berpeluang tamatkan penantian lebih 10 Tahun

Tan Cheng Hoe mengakui sudah lama menyimpan keinginan untuk melihat Harimau Malaya kembali menewaskan Vietnam dan peluang itu kini terbuka apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.

Malaysia sudah lebih 11 tahun tidak merasai kemenangan ke atas Vietnam sejak kejayaan dramatik pada 2014.

Ketika itu, skuad kendalian Dollah Salleh menewaskan tuan rumah 4-2 di Stadium My Dinh, Hanoi dalam aksi separuh akhir Piala ASEAN.

Kemenangan berkenaan memastikan Malaysia mara ke final dengan agregat 5-4.

Namun, perjalanan selepas itu tidak memihak kepada Harimau Malaya.

Skuad negara gagal mengulangi kemenangan dalam pertemuan berikutnya dan sudah mengalami sembilan kekalahan berturut-turut sejak kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada 2018.

Rekod tersebut menjadi antara cabaran yang mahu diubah Cheng Hoe apabila skuad negara turun di GBK.

“Memang saya juga dah tanamkan cita-cita nak menang dengan Vietnam dan juga ada keinginan untuk dapatkan keputusan yang positif kerana untuk 10 tahun kita tidak menang dengan Vietnam.

“Kita tahu kekuatan mereka bukan sahaja dari bahagian serangan dan mereka juga ada penambahan pemain naturalisasi mereka dari bahagian pertahanan,” katanya.

Cheng Hoe sedar Vietnam tetap mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak boleh dipandang berdasarkan satu bahagian permainan sahaja.

Selain ancaman serangan, beliau turut memberikan perhatian kepada perubahan di bahagian pertahanan Vietnam dengan kehadiran pemain naturalisasi.

Atas sebab itu, pengendali sementara negara mahu pemain berada dalam keadaan terbaik sebelum perlawanan bermula.

Pemulihan fizikal menjadi keutamaan selepas skuad negara mengharungi jadual pertandingan yang padat, manakala aspek mental turut perlu diberikan perhatian selepas Harimau Malaya terlepas peluang beraksi di final.

“Kita perlu persediaan yang terbaik kerana pemulihan dari segi mentaliti, daripada segi badan kita perlu kerana pasukan Vietnam juga datangnya satu pasukan yang cukup bersedia juga,” katanya.

Pertemuan itu bukan sekadar menentukan pasukan yang akan menamatkan kejohanan di tempat ketiga.

B