Perubahan besar dalam struktur skuad Indonesia mendapat perhatian Chanathip Songkrasin menjelang pertemuan Thailand dan Sang Garuda dalam final Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu mengakui Indonesia kini mempunyai barisan yang berbeza berbanding beberapa tahun lalu apabila ramai pemain warisan serta naturalisasi memperkuat pasukan tersebut.
Chanathip melihat pengalaman pemain Indonesia yang beraksi di liga luar negara, khususnya di Eropah, sebagai salah satu faktor utama yang meningkatkan kekuatan pasukan lawan.
“Sudah tiga atau empat tahun lalu kami bertemu Indonesia di pentas akhir. Boleh dikatakan setiap negara di ASEAN telah berkembang, dan kini banyak pemain warisan.
“Sekarang Indonesia boleh dikatakan memiliki ramai pemain warisan (naturalisasi) dan mereka beraksi di liga-liga yang tinggi.
“Oleh itu mereka memiliki kekuatan fizikal dan dan teknik yang sangat baik. Jadi, saya gembira akhirnya esok (hari ini) kami akan berdepan mereka.” kongsinya.
Bagi Chanathip, perkembangan tersebut bukan hanya berlaku kepada Indonesia.
Beliau turut melihat keseluruhan bola sepak Asia Tenggara semakin berkembang apabila beberapa negara mula memperkuat pasukan melalui pemain warisan yang mempunyai latar belakang pertandingan berbeza.
Namun, Indonesia menjadi tumpuan utama kali ini kerana Thailand perlu berdepan mereka dalam perlawanan paling penting kejohanan.
Kelebihan bermain di Gelora Bung Karno turut memberikan satu lagi cabaran kepada skuad Thailand, tetapi Chanathip lebih memilih untuk memberikan perhatian kepada aspek permainan lawan.
Menurutnya, kekuatan fizikal dan teknik pemain Indonesia menjadi perkara yang perlu diberi perhatian berdasarkan pengalaman mereka di liga-liga yang lebih tinggi.
Walaupun memberikan pujian kepada lawan, Chanathip tidak menunjukkan rasa gentar.
Sebaliknya, beliau mengakui gembira kerana akhirnya berpeluang bertemu Indonesia sekali lagi dalam satu perlawanan akhir.
Pertemuan tersebut menghidupkan kembali persaingan dua negara yang pernah bertemu di pentas sama beberapa tahun lalu.
Kini, kedua-duanya hadir dengan struktur pasukan yang berbeza dan perkembangan baharu dalam bola sepak masing-masing.
Indonesia akan cuba memanfaatkan kekuatan barisan pemain warisan serta kelebihan bermain di laman sendiri, manakala Thailand mahu memastikan mereka mampu mengawal tekanan dan mencabar sehingga tamat.
Final malam ini menjadi kemuncak kepada edisi perdana Piala ASEAN FIFA 2026 dan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan oleh satu perlawanan daripada gelaran juara.
Bagi Chanathip, peluang berdepan Indonesia dalam keadaan sekarang menjadikan final itu lebih menarik kerana ia mempertemukan dua pasukan yang sama-sama mengalami perkembangan ketara dalam beberapa tahun terakhir.