sukan

Negara ranking ke-30 FIFA gantung 448 Individu serta-merta

Seramai 448 pegawai dan bekas pegawai kelab dalam dua divisyen tertinggi bola sepak Turkiye digantung sementara oleh Persekutuan Bolasepak Turkiye (TFF) susulan siasatan mengenai aktiviti pertaruhan.

Tindakan berkenaan turut melibatkan beberapa nama utama dalam pentadbiran kelab termasuk Presiden Trabzonspor, Ertugrul Dogan, dan Naib Presiden Besiktas, Hakan Daltaban.

Menurut maklumat yang diberikan, individu terbabit pernah berkhidmat dengan kelab dalam dua divisyen tertinggi negara itu dan didapati telah melakukan pertaruhan ketika memegang jawatan dalam tempoh lima tahun terakhir.

Susulan itu, TFF memutuskan untuk mengenakan penggantungan sementara terhadap mereka sementara proses seterusnya dijalankan.

Kesemua 448 individu berkenaan turut dirujuk kepada jawatankuasa disiplin persekutuan.

Langkah tersebut bermakna perkara itu kini memasuki proses disiplin rasmi dan setiap kes perlu dinilai berdasarkan keadaan serta penglibatan individu berkenaan.

Tindakan TFF kali ini tidak hanya membabitkan pegawai yang masih aktif, sebaliknya turut merangkumi mereka yang pernah memegang jawatan sebelum ini.

Skala siasatan itu menjadi perhatian kerana jumlah individu yang terbabit cukup besar dan melibatkan struktur pentadbiran kelab di dua peringkat tertinggi bola sepak negara.

Dogan antara individu yang tampil memberikan penjelasan selepas namanya dikaitkan dengan tindakan berkenaan.

Beliau mengakui pernah mempunyai akaun pertaruhan dan memaklumkan perkara tersebut sudah diketahui pihak berkuasa.

Pada masa sama, Dogan menjelaskan bahawa hubungan syarikat pertaruhan dengan industri bola sepak sebelum ini tidak dianggap sesuatu yang luar biasa.

“Syarikat-syarikat ini menaja kelab dan mengadakan acara pelancaran. Tiada siapa menyangka perkara ini akan menimbulkan masalah… jika kami melakukan kesilapan, kami memohon maaf, namun kami tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.

Kenyataan itu memperlihatkan Dogan menolak dakwaan bahawa beliau melakukan kesalahan, walaupun mengakui kewujudan akaun pertaruhan.

Bagaimanapun, penggantungan yang dikenakan TFF pada ketika ini bukan keputusan akhir terhadap kes berkenaan.

Sebaliknya, kesemua individu yang dinamakan perlu melalui proses disiplin selepas dirujuk kepada jawatankuasa berkaitan.

Fokus seterusnya kini terarah kepada proses tersebut bagi menentukan kedudukan setiap individu berdasarkan fakta dan peraturan yang digunakan TFF.

Sehingga keputusan dibuat, kesemua 448 pegawai dan bekas pegawai berkenaan kekal berada dalam status penggantungan sementara sebagai sebahagian daripada siasatan menyeluruh mengenai aktiviti pertaruhan.