Manchester City berdepan kemungkinan dikenakan hukuman berat selepas sebuah suruhanjaya bebas mendapati kelab itu bersalah melakukan pelanggaran serius peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris sepanjang tempoh sembilan musim.
Kesalahan berkenaan meliputi musim 2009/10 hingga 2017/18, dengan City didapati mengatur kontrak komersial yang disifatkan sebagai ‘palsu’ bagi meningkatkan pendapatan kelab secara buatan serta mengurangkan kos sebenar yang ditanggung.
Menurut dapatan suruhanjaya, aturan tersebut menyebabkan kedudukan kewangan sebenar City tidak dilaporkan dengan tepat kepada juruaudit serta badan pengawal selia bola sepak.
Jumlah kesan daripada aturan terbabit melebihi £900 juta atau kira-kira RM4.8 bilion sepanjang tempoh berkenaan.
Suruhanjaya turut mendapati beberapa rakan komersial City hanya perlu membayar sebahagian daripada nilai penajaan yang direkodkan, manakala baki pembayaran dibiayai Abu Dhabi United Group Investment and Development (ADUG), yang memiliki kelab berkenaan ketika tempoh tersebut.
Beberapa aturan lain yang dibiayai ADUG pula membolehkan City merekodkan perbelanjaan operasi lebih rendah daripada jumlah sebenar yang ditanggung.
Kesannya, City didapati gagal melaporkan pendapatan dan perbelanjaan secara tepat bagi tujuan pematuhan peraturan kewangan EPL dan UEFA.
Suruhanjaya memutuskan bahawa sekiranya semua perjanjian terbabit dilaporkan secara tepat, City akan melanggar had perbelanjaan EPL dan UEFA dengan jumlah yang sangat besar.
City turut didapati bersalah atas majoriti pertuduhan berkaitan kegagalan memberikan kerjasama dalam siasatan liga, dengan tiga daripada empat pertuduhan berkenaan dikekalkan.
Bagaimanapun, tiada hukuman dikenakan setakat ini.
Isu hukuman akan dibincangkan secara berasingan dalam satu lagi prosiding di hadapan suruhanjaya bebas, manakala City mempunyai hak untuk merayu keputusan berkenaan.
Kelab itu menegaskan mereka tidak melakukan kesalahan dan menyatakan akan menggunakan saluran rayuan kerana berpendapat keputusan suruhanjaya mengandungi kesilapan material dari sudut undang-undang, prinsip dan fakta.
Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters menyifatkan keputusan itu sebagai antara detik paling penting dalam sejarah pertandingan.
“Keputusan utama ini menetapkan fakta mengenai apa yang berlaku di Manchester City sepanjang tempoh berkenaan. Ia memperincikan bagaimana kelab itu melanggar peraturan EPL secara sistematik selama hampir sedekad.
“Kes tatatertib ini dan keputusan berkenaan adalah yang paling penting dalam sejarah EPL.
“Dengan keputusan suruhanjaya kini sudah diperoleh, kami komited untuk bergerak pantas menyelesaikan proses seterusnya bagi memberikan kepastian kepada liga, kelab-kelab serta penyokong,” katanya.
Suruhanjaya mempunyai kuasa luas dalam menentukan hukuman, termasuk denda, pemotongan mata dan hukuman berkaitan sukan yang lain.
City mempunyai sehingga 2 Oktober untuk mengemukakan rayuan terhadap dapatan suruhanjaya.
Kes berprofil tinggi itu kini memasuki fasa seterusnya apabila perhatian tertumpu kepada bentuk hukuman yang bakal dikenakan sekiranya keputusan berkenaan kekal selepas proses rayuan.