sukan

Pencarian panjang Malaysia akhirnya tamat

KUALA LUMPUR – Kehadiran Bergson da Silva mula memberikan dimensi baharu kepada jentera serangan Harimau Malaya selepas penyerang itu meledak gol pada penampilan sulungnya bersama skuad negara ketika kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA.

Pemerhati bola sepak negara, Sulaiman Hussin melihat Bergson memiliki ciri penyerang nombor sembilan yang selama ini dicari skuad negara, terutama menerusi keupayaannya berada di kawasan penalti dan menyempurnakan peluang.

“Tetapi kita boleh tengok gol yang dijaringkan Bergson. Itulah Bergson. Kita sudah lama mencari pemain nombor sembilan yang berada dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol,” katanya.

Bergson yang baru mendapat kelulusan FIFA untuk mewakili Malaysia menjaringkan gol ketiga ketika Harimau Malaya menewaskan Bangladesh 3-0 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta. Arif Aiman Hanapi pula menyumbang dua gol untuk membantu skuad negara meraih tiga mata pertama.

Selain Bergson, Sulaiman turut memberi perhatian terhadap persefahaman yang mula terbentuk antara Manuel Hidalgo, Arif Aiman dan Faisal Halim.

“Untuk barisan hadapan, Bergson bersama Arif Aiman dan Hidalgo mungkin dah selalu main bersama di JDT (Johor Darul Ta’zim) tetapi tidak Faisal. Walaupun tidak bermain dalam satu pasukan (dengan Faisal), tetapi mereka sudah mengenali permainan masing-masing dan ini memudahkan persefahaman mereka di bahagian hadapan.

“Nampak kita agak bahaya di hadapan. Cuma Bergson pada saya masih ada benda-benda lagi bagus yang boleh dipamerkan oleh dia kerana semalam mungkin perlawanan pertama, debut dia di pentas antarabangsa disamping Hidalgo, mungkin mengambil masa sedikit untuk mempamerkan ketajaman,” katanya.

Menurutnya, kemenangan ke atas Bangladesh turut memperlihatkan kemampuan Malaysia untuk mendapatkan rentak lebih awal dan menguasai sebahagian besar permainan.

“Perlawanan semalam kita nampaknya berjaya ‘settle down’ awal dan kita mendahului daripada awal lagi sebelum pasukan Bangladesh sempat bertenang. Kita dapat menggunakan peluang. Kita ada banyak peluang dan apabila menjadikan gol pertama, kita sudah mula yakin.

“Barisan pertahanan juga nampak agak stabil, di tengah kita menguasai dan kita ada barisan hadapan yang baik. Tetapi saya tidak dapat merumus sejauh mana itu adalah kekuatan sebenar kita kerana Bangladesh juga tidak memberikan tentangan yang begitu hebat.

“Mereka nampak agak ‘struggle’ untuk masuk ke dalam permainan dan kita menguasai hampir sebahagian besar perlawanan,” katanya.

Sulaiman menganggap ketajaman empat pemain serangan itu sebagai perkembangan positif.

“Ini satu bonus dengan kehadiran empat pemain di bahagian hadapan yang cukup tajam,” katanya.

Namun, beliau menegaskan pertemuan dengan Indonesia pada Isnin ini bakal menjadi ujian sebenar. Indonesia turut memulakan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Singapura.

“Peluang menentang Indonesia itu adalah satu ujian besar kerana kita melihat Indonesia apabila bermain dalam perlawanan pertama menentang Singapura, mereka menang 2-0. Kita pasti akan dapat satu perlawanan yang hebat dan benar-benar akan mencabar kita dalam perlawanan kedua,” katanya.

Sulaiman percaya peningkatan prestasi mampu memberikan Malaysia peluang untuk memberi tekanan kepada tuan rumah.

“Saya percaya jika kita dapat tingkatkan apa yang kita pamerkan dalam perlawanan menentang Bangladesh, kita boleh merisaukan pasukan tuan rumah. Kita boleh saksikan satu perlawanan yang benar-benar hebat kerana kedua-dua pasukan juga mempunyai ramai pemain naturalisasi.

“Pastinya satu perlawanan yang hebat bakal kita saksikan dan saya berharap pasukan Malaysia boleh menang perlawanan kedua ini untuk meletakkan mereka di tempat yang selesa bagi perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.