Pertembungan Malaysia dan Indonesia pada Isnin ini dijangka menjadi antara ujian penting dalam Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 selepas kedua-dua pasukan membuka kempen dengan kemenangan dan masing-masing mengumpul tiga mata.
Indonesia terlebih dahulu mencuri perhatian apabila mencipta sejarah tersendiri ketika menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), malam tadi, dengan menurunkan kesebelasan utama yang semuanya pemain kelahiran luar negara.
Kesemua 11 pemain yang memulakan aksi bersama skuad Garuda dilahirkan di luar Indonesia. Lapan daripadanya lahir di Belanda, sementara masing-masing seorang dilahirkan di Amerika Syarikat, Australia dan Thailand.
Malaysia pula menggunakan pendekatan berbeza ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh dalam aksi pertama. Tiga pemain kelahiran Malaysia berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya iaitu Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Haziq Nadzli.
Barisan negara kemudian dilengkapkan dengan tonggak berdarah warisan dan naturalisasi, termasuk Dion Cools, Corbin-Ong, Stuart Wilkin, Nooa Laine, Manuel Hidalgo, Brad Tapp dan Bergson da Silva.
Perbezaan komposisi kedua-dua pasukan tidak menghalang Malaysia dan Indonesia daripada mendapatkan permulaan yang sama baik. Kedua-duanya kini mempunyai tiga mata selepas kemenangan pada aksi pembukaan Kumpulan A.
Harimau Malaya mendapat suntikan daripada prestasi Arif Aiman yang muncul wira dengan dua gol ketika menewaskan Bangladesh. Bergson pula turut mencuri perhatian apabila menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya selepas dinaturalisasikan sekali gus membuka akaun jaringan di pentas antarabangsa.
Cabaran seterusnya membawa Malaysia ke GBK, venue yang mempunyai catatan positif dalam perjalanan kerjaya Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan.
Pada final Piala AFF 2010, Cheng Hoe yang ketika itu bertindak sebagai penolong jurulatih berada dalam barisan kejurulatihan Malaysia ketika pasukan negara menjulang trofi selepas menewaskan Indonesia menerusi agregat di final.
Sembilan tahun kemudian, beliau kembali mencatat keputusan besar di venue sama. Sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Cheng Hoe membimbing Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019, di hadapan kira-kira 80,000 penyokong tuan rumah.
Rekod itu memberi konteks tambahan menjelang perlawanan Isnin ini, tetapi cabaran di atas padang kekal menjadi penentu apabila Malaysia bakal berdepan Indonesia yang baru sahaja memulakan kempen dengan kesebelasan penuh pemain kelahiran luar negara.
Kemenangan akan meletakkan salah satu pasukan dalam kedudukan lebih selesa di tangga teratas kumpulan dan membuka peluang lebih cerah untuk mara ke final menentang juara Kumpulan B.
Dalam rekod keseluruhan, Malaysia dan Indonesia telah bertemu 85 kali di pentas antarabangsa sejak perlawanan pertama pada 7 September 1957. Harimau Malaya mencatat 34 kemenangan, 18 seri dan 33 kekalahan.
Namun, rekod pertemuan terbaru memihak kepada Indonesia selepas mereka menewaskan Malaysia 4-1 dalam saingan Piala AFF di Singapura pada 2021.