sukan

TERKINI : Puripol Boonson buat lagi

Tembok 10 saat sekali lagi berjaya ditembusi Puripol Boonson apabila pelari sensasi Thailand itu mencatat 9.95 saat pada pusingan saringan 100 meter lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Catatan berkenaan menyaksikan Puripol bukan sahaja menjuarai Saringan 1 di Stadium Olahraga Mizuho, malah muncul pelari terpantas daripada keseluruhan saringan untuk mara ke separuh akhir.

Zeng Keli dari China berada di kedudukan kedua dengan 10.22s, diikuti wakil India, Animesh Kujur, yang mencatat 10.36s.

Wakil Malaysia, Muhammad Umaira Subri, pula menghasilkan catatan terbaik peribadi 10.43s, namun kedudukan keempat dalam saringan itu tidak mencukupi untuk membawanya ke pusingan separuh akhir.

Prestasi Puripol mencuri tumpuan kerana 9.95s berada begitu hampir dengan rekod terbaiknya, 9.94s, yang dicatat ketika Sukan SEA 2025 di Bangkok.

Catatan 9.94s itu turut menjadi rekod kebangsaan Thailand dan ketika itu memecahkan rekod Asia bawah 20 tahun.

Musim ini, Puripol juga pernah mencatat 9.99s dalam satu kejohanan di Litomyšl, Republik Czech pada Ogos, sebelum kembali menghasilkan larian bawah 10 saat di pentas Sukan Asia.

Cabaran Malaysia dalam acara 100m bagaimanapun masih diteruskan Muhammad Azeem Fahmi, yang terlebih dahulu memastikan tempat ke separuh akhir selepas menjuarai Saringan 5 dengan masa 10.17s.

Pertembungan seterusnya bakal menyaksikan dua pemenang pingat Sukan Asia Hangzhou kembali memburu kejayaan selepas Puripol meraih perak dan Azeem membawa pulang gangsa pada edisi 2023.