sukan

Chong Wei bidas pemain ‘tekan’ BAM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia membuka ruang perbincangan bagi menyelesaikan sebarang isu pemain, namun badan induk itu tidak akan menerima tekanan atau ugutan sebagai kaedah untuk mendapatkan sesuatu keputusan.

Pendirian itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei susulan laporan bahawa Soh Wooi Yik mungkin mempertimbangkan semua pilihan, termasuk kemungkinan bergerak secara profesional. Langkah berkenaan dilihat sebagai antara pilihan demi memastikan gandingannya bersama Aaron Chia kekal dan meneruskan impian memburu pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menurut Chong Wei, sebarang masalah perlu dibawa melalui saluran yang betul. Pemain boleh memulakan perbincangan dengan jurulatih atau Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, sebelum perkara berkenaan ditangani pada peringkat seterusnya.

“Kalau pemain sudah buat keputusan apa, dia boleh bincang dengan jurulatih dulu, boleh bincang dengan Rexy Mainaky (pengarah kejurulatihan beregu). Kalau tidak suka sesuatu perkara, bincang.

“Tetapi jangan gunakan perkara itu untuk memberi tekanan kepada persatuan. Tidak boleh,” katanya.

Persoalan mengenai masa depan Aaron-Wooi Yik timbul selepas rombakan barisan kejurulatihan beregu lelaki negara yang diketuai Herry Iman Pierngadi sejak bulan lalu. Dalam tempoh itu, beberapa gandingan diuji dengan pasangan berbeza, sekali gus menimbulkan perhatian terhadap kedudukan kombinasi nombor empat dunia berkenaan.

Di sebalik perubahan tersebut, Aaron-Wooi Yik membuktikan kemampuan mereka sebagai satu pasangan apabila muncul naib juara Kejohanan Dunia di New Delhi, India, Ahad lalu. Mereka tewas kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada perlawanan akhir. Pencapaian itu memperkukuh hujah bahawa kombinasi berkenaan masih berupaya mencabar di pentas tertinggi.

Namun, kemungkinan meninggalkan BAM bukan keputusan yang mudah untuk dilaksanakan. Aaron dan Wooi Yik masih mempunyai kontrak bersama persatuan sehingga 2028. Jika memilih untuk keluar, mereka boleh berdepan tuntutan pampasan yang besar serta kemungkinan dikenakan sekatan daripada menyertai kejohanan antarabangsa.

Chong Wei menegaskan BAM tidak menutup pintu rundingan dan bersedia membantu pemain berdasarkan perkara yang boleh dipertimbangkan oleh persatuan.

“Jangan cakap mahu keluar BAM atau apa-apa untuk memberi tekanan kepada persatuan. BAM sekarang dengan pengurusan baharu memang tidak takut.

“Kita boleh bincang semua perkara. Anda mahu apa-apa, duduk berbincang apa yang kita boleh bantu, kita kena bantu. Kita akan beri perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemain mengenai peranan BAM dalam menyediakan latihan, kemudahan dan persekitaran pembangunan sejak mereka berada pada peringkat awal. Sumbangan itu, katanya, menjadi sebahagian daripada perjalanan pemain sebelum mereka mampu mencapai kedudukan penting dalam badminton dunia.

“Pemain datang dari mana? Masa kecil-kecil mereka berlatih di mana? Mereka berlatih di ABM (Akademi Badminton Malaysia). Daripada mereka tiada apa-apa dan sekarang mereka ada sesuatu, siapa yang bantu mereka? BAM.

“Kalau setakat anda menang gelaran juara dunia, kemudian gunakan itu untuk memberi tekanan kepada persatuan, saya rasa persatuan tidak takut. Sekarang pengurusan baharu BAM memang tidak takut, saya boleh beritahu terus,” katanya ketika dihubungi.

Bagi Chong Wei, kejayaan meraih gelaran besar bukan tiket untuk mana-mana pemain menekan badan induk yang membantu membentuk karier mereka. BAM kekal terbuka mencari penyelesaian terbaik, tetapi perbincangan itu mesti berlangsung secara profesional dengan hubungan pemain dan persatuan berlandaskan sikap saling menghormati.