sukan

Pesanan Azeem jadi pembakar semangat Danish bergelar Juara

Danish Iftikhar Muhammad Roslee membuktikan keupayaannya mengendalikan tekanan sebagai juara bertahan apabila sekali lagi menguasai acara 100 meter lelaki Sukan Malaysia (SUKMA), kali ini pada edisi Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Pelari Johor berusia 19 tahun itu mencatat 10.27 saat untuk mempertahankan pingat emas yang diraihnya ketika penampilan sulung pada SUKMA Sarawak 2024.

Danish yang beraksi dari lorong keempat mengatasi atlet Kedah, Muhammad Umaira Subri yang mencatat 10.31s untuk perak, sementara seorang lagi wakil Kedah, Muhammad Dzul Danish Jamari meraih gangsa dengan masa 10.37s.

Kejayaan mempertahankan kejuaraan itu hadir dalam keadaan berbeza buat Danish. Jika dua tahun lalu dia turun sebagai pelari yang dianggap ‘underdog’, kali ini perhatian lebih besar tertumpu kepadanya sebagai juara bertahan.

“Pada SUKMA pertama, saya dianggap ‘underdog’. Saya datang tanpa tekanan dan berjaya melakukannya. Tetapi kali ini banyak tekanan kerana semua pelari dalam senarai adalah atlet terbaik yang ada di Malaysia.

“Alhamdulillah saya dapat mengawal tekanan itu dan saya sangat berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan serta UPSI yang banyak membantu saya,” katanya.

Dalam usaha mengawal tekanan sebelum perlumbaan, Danish turut menerima pesanan daripada sahabatnya yang juga jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi.

“Dia pesan supaya buat yang terbaik dan kekal relaks. Disebabkan itu, Alhamdulillah saya berjaya melakukannya.

“Bukan daripada dia sahaja, tetapi sokongan keluarga, ibu bapa, rakan-rakan serta universiti saya sendiri, UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) turut menjadi sumber kekuatan untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Danish mengakui kekuatan barisan pencabar dalam final itu membantunya meningkatkan tahap larian sehingga berjaya menghasilkan catatan terbaik musim ini.

“Ya, ini memang catatan terbaik musim ini. Mereka semua memberi saingan yang baik dan disebabkan itu saya dapat melakukan yang terbaik,” katanya.

Perlumbaan akhir itu turut menguji ketenangan Danish apabila berlaku false start. Dalam situasi berkenaan, dia memilih untuk mengawal emosi dan memastikan fokus tidak terganggu sebelum perlumbaan dimulakan semula.

“Selepas false start, saya hanya berselawat untuk kawal diri. Saya fikir tiada ruang untuk melakukan kesilapan dalam pertandingan ini dan alhamdulillah semua berjalan baik,” katanya.

Danish kini masih memburu rekod kejohanan SUKMA 10.18s milik Khairul Hafiz Jantan yang dilakukan pada edisi Sarawak 2016.

“Itu adalah sasaran saya sebelum habis umur 21 tahun. Saya masih ada satu lagi SUKMA dan InsyaAllah jika diberi peluang serta kelebihan, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, acara 100m wanita menyaksikan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira menebus kekecewaan selepas hanya meraih perak pada SUKMA Sarawak 2024.

Pelari Terengganu itu kali ini meraih emas dengan catatan 11.73s, menewaskan Lim Mei Yin dari Selangor yang merekodkan 11.96s dan Alvinia Aivie Jackly dari Sarawak yang mencatat 12.07s untuk gangsa.

“Alhamdulillah dengan pencapaian hari ini. Walaupun saya tidak dapat catatkan PB, saya tetap teruja kerana akhirnya dapat pingat emas dan menebus kembali keputusan edisi 2024.

“Walaupun hujan rintik-rintik, Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan emas,” katanya.

Menurut Izzatul, kecederaan yang dialaminya selepas SUKMA 2024 menjadi sebahagian daripada cabaran dalam perjalanan menuju kejayaan kali ini.

“Selepas SUKMA 2024 saya mengalami kecederaan. Saya gunakan kecederaan itu untuk meningkatkan motivasi sehingga hari ini.

“Perjalanan ini ada jatuh bangun, pahit manis, tetapi saya gembira dengan pencapaian hari ini,” katanya.