sukan

Piala Dunia : Malaysia B-15 satu-satunya wakil Asia Tenggara mara

Skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul satu-satunya wakil Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri ke saingan Tier B Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 yang berlangsung di Baku, Azerbaijan.

Kejayaan tersebut menyaksikan anak buah P. Maniam mengatasi pencapaian pasukan serantau lain termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam yang terpaksa meneruskan perjuangan dalam Tier C selepas menamatkan kempen peringkat kumpulan masing-masing.

Malaysia mengesahkan tempat ke Tier B selepas muncul naib juara Kumpulan H dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan daripada lima perlawanan.

Skuad Harimau Muda memulakan saingan dengan cemerlang apabila menewaskan Dominica 3-1 sebelum meneruskan momentum dengan kemenangan 3-1 ke atas Syria.

Kejayaan tersebut disusuli kemenangan besar 5-0 ke atas Ethiopia, sekali gus membolehkan Malaysia mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam kempen peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, rentak kemenangan skuad negara terhenti selepas terikat 1-1 dengan Hungary sebelum mengalami kekalahan pertama ketika tunduk tipis 0-1 kepada Mexico dalam perlawanan terakhir.

Keputusan berkenaan memastikan Mexico muncul juara Kumpulan H dengan 15 mata, manakala Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dengan 10 mata.

Walaupun gagal merebut kedudukan teratas, pencapaian tersebut membolehkan skuad negara meneruskan perjuangan dalam Tier B yang merupakan kelompok kedua tertinggi pertandingan.

Mengikut format kejohanan, Tier B membabitkan pasukan yang bersaing untuk menentukan kedudukan keseluruhan antara tempat ke-33 hingga ke-64.

Malaysia kini menjadi satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang berada dalam kelompok berkenaan selepas Indonesia, Thailand dan Vietnam ditempatkan dalam Tier C.

Sementara itu, Myanmar dan Filipina beraksi dalam Tier D, manakala Laos serta Singapura ditempatkan dalam Tier E.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan pencapaian skuad muda negara sebagai perkembangan positif terhadap pembangunan bola sepak akar umbi.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan kemampuan pemain negara memberikan saingan kepada pasukan dari pelbagai benua sepanjang kejohanan.

Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan pemain muda Malaysia mempunyai kemampuan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa sekiranya diberikan persiapan dan pendedahan yang sewajarnya.

Ab Ghani turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kejurulatihan dan pemain atas komitmen serta disiplin yang ditunjukkan sepanjang kempen di Azerbaijan.

Beliau menjelaskan bahawa dirinya sentiasa berhubung dengan Maniam bagi mendapatkan perkembangan pasukan, selain memberikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum mereka turun beraksi.

Perhatian kini terarah kepada cabaran seterusnya apabila Malaysia dijadualkan bertemu Afrika Selatan dalam perlawanan pusingan 32 Tier B pada 28 Oktober.

Pertemuan tersebut bakal menjadi satu lagi ujian buat skuad negara yang sedang berusaha mengekalkan momentum positif selepas mencatat tiga kemenangan dalam peringkat kumpulan.

Walaupun peluang untuk merebut gelaran keseluruhan Tier A sudah tertutup, Malaysia masih mempunyai peluang untuk memburu kejayaan dalam Tier B.

Pencapaian menjadi satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kelompok kedua tertinggi itu turut memberikan suntikan keyakinan kepada skuad muda negara untuk meneruskan perjuangan sehingga tamat kejohanan.