Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tampil mempertahankan keputusannya melakukan rombakan gandingan selepas percaturan tersebut mula menunjukkan hasil positif menerusi kejayaan dua pasangan Malaysia merangkul kejuaraan dalam siri jelajah Eropah.
Jurulatih kelahiran Indonesia itu menegaskan bahawa setiap keputusan yang dilakukan sebelum ini mempunyai tujuan tertentu, khususnya untuk menilai keserasian dan potensi pemain dalam usaha meningkatkan prestasi beregu lelaki negara.
Menurut Herry, kejayaan Aaron Tai-Yap Roy King menjuarai Terbuka Artik di Finland, diikuti Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang muncul juara Terbuka Perancis, menjadi perkembangan positif selepas perubahan gandingan yang dilaksanakan menerima kritikan daripada sebahagian peminat.
Beliau berkata, keputusan memisahkan beberapa pasangan sebelum ini tidak pernah dirancang sebagai langkah kekal, sebaliknya hanya percubaan untuk memberikan peluang kepada pemain menyesuaikan diri bersama gandingan berbeza.
“Kita tidak cakap untuk pisah secara tetap kerana itu hanya sebagai percubaan. Ramai orang yang cakap itu dan ini tetapi sekarang kita sudah mula nampak hasil apabila mereka berjaya ke final.
“Saya sebagai jurulatih mungkin lebih tahu daripada netizen di luar sana yang banyak cakap. Saya berada di sini setiap hari, sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk pemain negara,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Herry berkata demikian ketika mengulas kritikan yang diterimanya berhubung tindakan melakukan penyusunan semula beberapa gandingan beregu lelaki kebangsaan sejak pertengahan tahun ini.
Perubahan tersebut sebelum ini mendapat perhatian kerana turut melibatkan pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Bagaimanapun, Herry berpendapat percubaan berkenaan perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kemampuan sebenar pemain apabila diberikan tanggungjawab dan pasangan berbeza.
Hasil awal mula kelihatan apabila Aaron-Roy King berjaya menjuarai Terbuka Artik pada 11 Oktober lalu, sekali gus meraih gelaran pertama selepas kembali digandingkan.
Kejayaan tersebut kemudian disusuli Wei Chong-Kai Wun yang menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 13-21, 21-15, 21-7 pada final Terbuka Perancis.
Kemenangan di Paris bukan sahaja memberikan gelaran Super 750 pertama kepada Wei Chong-Kai Wun, malah menamatkan penantian 22 tahun Malaysia untuk kembali memiliki juara beregu lelaki kejohanan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Herry turut menjelaskan bahawa Aaron-Wooi Yik mempunyai alasan kukuh untuk kembali bergandingan selepas memperlihatkan kemampuan mereka pada kejohanan utama.
Pasangan berkenaan muncul naib juara Kejohanan Dunia pada Ogos sebelum mengulangi pencapaian sama pada Terbuka Denmark, 18 Oktober lalu.
“Ya, memang mereka sudah membuktikan di Kejohanan Dunia walaupun tidak menjadi juara. Kita pisahkan mereka sebelum ini hanya sebagai percubaan dan bukannya untuk berpisah secara tetap,” katanya.
Herry menegaskan bahawa tugasnya sebagai jurulatih menuntut beliau membuat penilaian berdasarkan pemerhatian harian terhadap pemain, bukannya hanya keputusan satu atau dua kejohanan.
Baginya, kejayaan terbaru skuad beregu lelaki dalam jelajah Eropah menunjukkan bahawa proses perubahan yang dilaksanakan sudah mula memberikan hasil, namun penilaian berterusan tetap diperlukan bagi memastikan kemajuan tersebut dapat dikekalkan.