sukan

Tekong nombor satu dunia kembali ‘gegar’ arena Takraw

Pengurus skuad sepak takraw kebangsaan, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman, meletakkan sasaran peribadi tinggi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan mahu melihat kem lelaki negara membawa pulang dua pingat emas menerusi acara regu dan regu berpasukan.

Keyakinan itu semakin kukuh susulan perkembangan positif tekong utama negara, Syahir Rosdi, yang bakal kembali bersama pasukan selepas pulih daripada kecederaan otot betis ketika beraksi dalam Piala Dunia ISTAF di Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Ahmad Zaffry menyifatkan kepulangan Syahir sebagai perkembangan yang melegakan kerana pemain itu bukan sahaja merupakan tekong nombor satu negara, malah berada pada kedudukan nombor satu dunia.

“Dengan kembalinya Syahir Rosdi, saya amat yakin yang pasukan kita akan (kembali) menjadi pasukan yang kuat kerana kita tahu dia bukan sahaja tekong nombor satu negara, malah tekong nombor satu dunia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

“Saya bersyukur dengan kehadirannya dan berharap dia memang sudah sembuh 100 peratus dan boleh bermain sepenuh masa.”

Bagi Ahmad Zaffry, kehadiran semula Syahir memberi nilai tambah terbaik ketika pasukan negara sedang memperkemas persiapan menjelang temasya yang akan berlangsung bulan depan.

Malaysia sebelum ini membawa pulang dua pingat perak daripada Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi acara regu dan regu berpasukan lelaki. Kali ini, pengurus skuad kebangsaan mahu keputusan yang lebih tinggi dicapai dengan kedua-dua acara berkenaan menjadi sasaran emas.

Beliau mengakui Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Sumali Reduan, berharap sekurang-kurangnya satu pingat emas dapat diraih, namun sasaran peribadinya adalah dua emas.

“Apabila kita pergi berjuang, kita mesti nak menang, jadi Presiden berharap kita dapat satu emas tetapi saya akan membuktikan kepadanya bahawa kita akan membawa pulang dua emas buat negara.

“Itulah hasrat saya selaku pengurus.”

Dalam usaha memastikan sasaran itu disokong persiapan yang kukuh, semua pemain kini sudah berada di pusat latihan di Bukit Jalil.

Skuad negara turut akan menjalani sesi bersama Sumali, yang juga ketua kontinjen ke Sukan Asia, pada Selasa depan sebelum pasukan berpindah ke Akademi Sepak Takraw di Kampung Baru untuk menjalani latihan intensif.

“Sebagai makluman, kami ada sesi bersama CDM (ketua kontinjen ke Sukan Asia), Datuk Sumali Reduan, yang juga Presiden PSM (Persekutuan Sepaktakraw Malaysia), pada Selasa depan tetapi pemain semua sudah berada di pusat latihan di Bukit Jalil.

“Selepas lawatan CDM itu, kami akan berpindah ke Akademi Sepak Takraw di Kampung Baru untuk mengadakan latihan intensif.”

Dengan tempoh persiapan semakin pendek, tumpuan kem negara kini terarah kepada kestabilan prestasi, tahap kecergasan dan kemampuan mengekalkan mutu permainan di bawah tekanan. Kepulangan Syahir memberi pilihan penting kepada pasukan dalam usaha meningkatkan kekuatan keseluruhan sebelum cabaran sebenar di Aichi-Nagoya.