Penyerang Selangor FC, Faisal Halim mengakui pernah berada di ambang untuk menamatkan karier bola sepak lebih awal selepas melalui detik sukar apabila menjadi mangsa simbahan asid pada Mei 2024.
Namun keputusan itu akhirnya tidak diteruskan selepas pemain berusia 28 tahun berkenaan menerima sokongan berterusan daripada pelbagai pihak sepanjang proses pemulihannya. Kini, Faisal kembali membuktikan keupayaannya di atas padang selepas menghasilkan prestasi cemerlang sepanjang musim lalu.
Kebangkitan itu turut membawa ganjaran besar apabila Faisal dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik pada Anugerah Liga Malaysia atau Liga M Awards 2025-2026, malam tadi. Pengiktirafan berkenaan menjadi gelaran Penyerang Terbaik pertama dalam kariernya.
Meskipun sudah dua tahun berlalu, Faisal yang lebih mesra disapa Mickey berkata dia masih sukar mempercayai kejadian itu pernah berlaku dan mengakui tahap permainannya ketika ini masih belum menyamai prestasi terdahulu.
“Saya pun tidak sangka mampu beraksi lagi sebenarnya, sebab itu saya ingin bersara dalam bola sepak. Namun, doktor memberi kata-kata semangat bahawa saya mampu kembali dan Selangor FC berikan bantuan yang terbaik untuk saya kembali di atas padang.
“Begitu juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak putus-putus memberi inspirasi dan semangat untuk saya kembali. Akhir sekali keluarga saya dan rakyat Malaysia juga sentiasa berada di belakang.
“Apabila saya cedera dan pulih, itu adalah satu titik terendah dalam hidup saya. Walaupun hari ini saya menang anugerah Penyerang Terbaik, saya tidak rasa saya sampai pada tahap di mana saya dulu.
“Saya masih mencari rentak, masih bekerja keras untuk kembali menjadi pemain terbaik. Saya mungkin bukan Faisal Halim yang dulu. Anugerah ini membakar semangat saya selepas pulih kembali dalam arena bola sepak.
“Sudah tentu bukan mudah, hampir satu musim 2024-2025 saya tidak beraksi. Saya rasa musim lalu adalah musim untuk saya bermula mencari prestasi dengan dibantu rakan dan doa peminat.
“Saya tidak sangka dapat memberikan satu benda yang positif untuk pasukan dan diri saya. Musim lalu, saya bermain hampir semua perlawanan dan anugerah ini memberi saya satu semangat baru untuk musim hadapan,” katanya.
Kejayaan itu mempunyai nilai tersendiri buat Faisal kerana ia merupakan trofi individu pertamanya selepas empat kali tercalon sejak edisi 2020, 2021, 2022 dan 2023.
Prestasi konsisten sepanjang musim lalu menjadi asas kepada kejayaan tersebut apabila Faisal menghasilkan 17 gol secara keseluruhan. Catatan itu memperlihatkan keberkesanannya ketika kembali mengharungi saingan kompetitif selepas tempoh panjang tanpa aksi.
Pengiktirafan tersebut juga menjadi penanda kepada satu fasa penting dalam usaha Faisal membina semula prestasinya. Walaupun mengakui masih belum kembali ke tahap terbaik seperti dahulu, pencapaian pada musim lalu memberikan dorongan besar kepadanya untuk terus bekerja keras menjelang musim hadapan.
Bagi Faisal, perjalanan kembali ke atas padang bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, malah memerlukan ketahanan untuk menyesuaikan diri semula dengan tekanan pertandingan. Selepas hampir semusim tidak beraksi, kemampuan bermain hampir kesemua perlawanan musim lalu serta menghasilkan 17 gol memberikan gambaran jelas mengenai perkembangan positif yang berjaya dicapainya.
Kini, gelaran Penyerang Terbaik menjadi satu lagi pencapaian penting dalam karier Faisal selepas melalui tempoh yang disifatkannya sendiri sebagai titik terendah dalam hidup.