Lionel Messi mengakui kehilangan bapanya, Jorge Messi, memberi kesan besar terhadap dirinya sehingga menimbulkan keraguan mengenai tempoh dia akan terus berada dalam arena bola sepak profesional.
Jorge meninggal dunia minggu lalu pada usia 68 tahun di sebuah klinik perubatan di Rosario, Argentina selepas mengalami sakit yang berpanjangan. Pemergian individu yang sentiasa berada di belakang perjalanan karier Messi itu meninggalkan kesan mendalam kepada kapten Argentina berkenaan.
“Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan tanpa kamu. Saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup.
“Saya hanya bermain bola sepak dan kini saya mempunyai banyak keraguan sama ada saya akan terus melakukannya untuk tempoh yang lama.
“Kamu berada di sisi saya sejak awal, hanya sedikit lagi yang diperlukan sebelum tamat. Mengapa kamu tidak bertahan sedikit lebih lama supaya kita dapat menamatkannya bersama?,” tulis Messi menerusi hantaran penghormatan di Instagram.
Jorge memainkan peranan penting sepanjang perjalanan kerjaya anaknya sejak zaman awal bersama Barcelona. Selain menjadi tonggak sokongan utama, beliau juga pernah bertindak sebagai wakil Messi selama beberapa tahun.
Messi, 39, turut mendedahkan bahawa antara sebab utama dia mengambil keputusan beraksi pada Piala Dunia lalu adalah kerana kejohanan berkenaan menjadi impian bapanya. Argentina bagaimanapun gagal muncul juara selepas tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir yang berlanjutan sehingga masa tambahan.
“Kamu sentiasa meminta saya bermain pada Piala Dunia terakhir dan beberapa hari sebelum kejohanan bermula, keadaan kamu semakin buruk.
“Itu adalah kali pertama kamu tidak akan berada bersama saya dalam satu kejohanan. Setiap kali perlawanan tamat, saya akan menunggu dan berharap menerima mesej daripada kamu. Ketika itu saya sedar betapa seriusnya keadaan sebenar,” katanya.
Situasi itu menjadikan kempen Messi sepanjang Piala Dunia penuh dengan tekanan emosi. Dia menjaringkan hatrik pada perlawanan pembukaan menentang Algeria sebelum menitiskan air mata ketika meraikan gol pertamanya.
Messi kemudian menjelaskan bahawa tangisan berkenaan berpunca daripada perkara yang tidak berkaitan dengan bola sepak selepas melalui beberapa hari yang sukar dan rumit.
Penyerang Inter Miami itu turut mengakui dia mahu menghadiahkan kejuaraan kepada bapanya. Namun, tahap fizikalnya tidak lagi membolehkan dia membantu Argentina mendapatkan kejuaraan Piala Dunia kedua.
“Kaki saya tidak mampu meneruskan lagi. Kali ini saya cuba memaksa diri melepasi had fizikal, tetapi saya tidak mampu. Saya tidak pernah berasa baik.
“Kami bukan juara, tetapi kamu tidak tahu betapa kami menikmati setiap perlawanan. Sekali lagi kamu betul, saya perlu berada di sana dan bermain,” katanya.
Di sebalik kesedihan yang masih dirasai, Messi berjanji akan terus menghargai kenangan bersama bapanya. Dia mahu meneruskan nilai dan didikan yang diterimanya dengan membesarkan anak-anaknya berdasarkan prinsip yang sama.