sukan

Rekod cemerlang Azri Ghani jadi sandaran

Penjaga gol utama Harimau Malaya, Azri Ghani, menegaskan beliau sudah bersedia menghadapi tekanan hebat daripada Vietnam apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini.

Azri yang juga penjaga gol Negeri Sembilan FC menjangkakan skuad Naga Emas akan melancarkan asakan bertubi-tubi ke arah benteng negara. Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu tidak gentar dan mahu memastikan setiap percubaan yang hadir ke arah gawang Malaysia dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

Pertemuan itu turut menjadi detik penting buat Azri kerana ia bakal menjadi penampilan pertamanya di peringkat senior menentang Vietnam. Situasi tersebut memberikan motivasi tambahan kepadanya untuk membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa, terutama dalam perlawanan yang menuntut tahap konsentrasi dan disiplin tinggi.

“Setiap perlawanan saya akan sentiasa berikan tumpuan yang terbaik dari segi permainan. Tumpuan dan disiplin pertahanan, saya sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Saya pertama kali diturunkan menentang skuad senior mereka, jadi saya nak mencuba dan berikan permainan terbaik.

“Siapa pun yang datang, InsyaAllah saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Azri berkata, beliau tidak mahu terlalu memikirkan siapa pemain Vietnam yang berpotensi mengancam gawang negara. Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada aspek disiplin, konsentrasi serta tanggungjawabnya untuk memastikan benteng Harimau Malaya kekal kukuh sepanjang perlawanan.

Sepanjang saingan peringkat kumpulan, Azri menjadi penjaga gol utama Malaysia dengan empat penampilan, mencatat dua perlawanan tanpa bolos dan hanya melepaskan tiga gol. Baginya, angka tersebut mencerminkan prestasi unit pertahanan yang lebih banyak melakukan perkara betul walaupun pasukan berdepan gangguan akibat kecederaan.

“Pertama sekali, saya beri pujian kepada pasukan kerana memberikan persembahan terbaik dalam kesemua empat perlawanan. Bagi saya, tiada masalah dan tiada isu dengan pertahanan atau pemain kami,” katanya.

Malaysia terpaksa berdepan masalah kecederaan sepanjang kempen dengan Endrick Dos Santos dan Jimmy Raymond sudah diketepikan, manakala beberapa pemain lain masih menjalani proses pemulihan menjelang aksi separuh akhir.

“Buat masa sekarang saya tengok pemain menjalani proses pemulihan dengan bagus.

“Jadi saya mengharapkan mereka kembali dengan cepat untuk perlawanan seterusnya, mungkin bermain di Vietnam nanti.

“Dekat sini kita terpaksa guna mana-mana yang ada. Semua yang datang pun berkualiti, jadi sebab itu kita tak risau.

“Saya harap pasukan boleh berikan aksi yang terbaik untuk lawan Vietnam nanti,” katanya.

Persiapan Malaysia turut berlangsung dalam keadaan mencabar apabila Piala ASEAN dimainkan di luar jendela antarabangsa FIFA, selain skuad hanya mempunyai kira-kira 10 hari untuk membuat persediaan. Keadaan itu memaksa jurulatih sementara Tan Cheng Hoe bekerja dengan kumpulan yang turut menampilkan pemain muda dan muka baharu.

“Dengan tempoh persediaan yang begitu singkat, saya bangga dan teruja dengan para pemain, terutama kerana sekarang adalah tempoh luar musim kami. Saya lihat pemain datang dalam keadaan sangat baik dan benar-benar bersedia,” katanya.

“Sekarang menentang Vietnam, saya harap kami dapat memberikan persembahan terbaik dan berjuang dalam perlawanan seterusnya.”

Malaysia mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B dengan mengumpul sembilan mata, manakala Vietnam selaku juara bertahan mengungguli Kumpulan A dengan rekod tanpa kalah.